Protes gagal halang kuliah Wan Ji di Melaka

Penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.

PETALING JAYA: Polis terpaksa dipanggil apabila satu protes diadakan di sebuah masjid di Melaka di mana penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin menyampaikan kuliah.

Lebih 50 orang berkumpul di luar Masjid Ar Rahman, Durian Tunggal, bagi menghalang kuliah Wan Ji, menurut laporan Malaysiakini.

Polis membuat barisan penghadang bagi menghalang orang ramai yang berhimpun daripada memasuki kawasan masjid. Mereka kemudiannya bergerak ke luar berikutan campur tangan polis dan bersurai selepas itu.

Wan Ji mendapat liputan media beberapa minggu ini selepas beliau diperintahkan menjalani hukuman penjara setelah disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan berikutan komennya mengenai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan beberapa isu lain di Facebook. Beliau bagaimanapun diberikan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan.