Pusat pemuliharaan harimau di Pahang dijangka mula beroperasi hujung tahun ini

Harimau yang ditangkap kerana berada dalam situasi konflik dengan manusia akan dipindahkan ke pusat pemuliharaan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal. (Gambar Facebook)

KUALA NERUS: Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) di kawasan seluas 40 hektar di Lanchang, Pahang, berhampiran Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, dijangka siap dan mula beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abdul Kadir Abu Hashim berkata, setakat ini kerja-kerja pembangunan yang menelan belanja sebanyak RM15 juta telah siap 90%.

“Mengikut perancangan, harimau yang mengalami konflik dengan manusia yang kita tangkap akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar kebangsaan (NWRC) Perhilitan di Sungkai, Perak terlebih dahulu untuk tujuan rawatan.

“Selepas itu barulah kita pindahkan ke NTCC Pahang untuk pemuliharaan serta latihan sebagai persediaan melepaskan mereka kembali ke habitat asal,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk “Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan” di UMT, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, cara pemuliharan itu hanyalah cadangan dan kajian lanjut akan dijalankan bersama pakar termasuk dari institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menilai kesannya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Kadir berkata, pihaknya sentiasa memantau aktiviti penjualan hidupan liar yang dilindungi secara dalam talian di negara ini.

Beliau berkata sejak Ops Taring dilancarkan pada 2013 sehingga kini, seramai 50 individu yang berusia antara belasan tahun sehingga 40-an ditangkap dan dikenakan tindakan, kerana menjalankan aktiviti terbabit.

“Kita sentiasa pantau iklan di laman sosial seperti Facebook yang menjual hidupan liar seperti tenggiling, burung hantu, kucing hutan dan sebagainya.

“Kebanyakan mereka yang ditangkap adalah warga tempatan dan ada antaranya ‘scammer’ yang memperdaya orang ramai dengan menawarkan bermacam-macam jenis haiwan liar,” katanya.