Tidak bijak minta dana langsung kerajaan, TI-M beritahu Bersih

Presiden TI-M Muhammad Mohan. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Transparency International Malaysia (TI-M) berkata, bukanlah pilihan yang baik bagi kumpulan masyarakat sivil memohon dana langsung daripada kerajaan persekutuan bagi menampung operasi harian mereka..

Presidennya Muhammad Mohad berkata, “akan sentiasa ada syarat tertentu yang disertakan” sekiranya kerajaan memperuntukkan dana kepada kumpulan tertentu.

“Sebagai satu kumpulan, anda dijangka tidak bersikap kritikal terhadap kerajaan.

“Kerajaan ada pilihan untuk menghentikan pemberian dana berkenaan sekiranya kumpulan terbabit menjadi terlalu lantang,” katanya.

Pertubuhan anti-rasuah itu memberi respons kepada gesaan peguam hak asasi dan bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan supaya kerajaan persekutuan memberi dana kepada Bersih 2.0 berikutan kerja ang dijalankan oleh kumpulan reformasi pilihan raya itu.

Beliau juga meletakkan syarat “tiada syarat disertakan” dengan pemberian dana itu bagi membolehkan Bersih 2.0 meneruskan kerja lapangannya, terutama sekali dalam pilihan raya Sarawak yang perlu diadakan selewat-lewatnya Mei 2021.

Muhammad juga berkata, Bersih 2.0 boleh memilih untuk mendapatkan dana kerajaan berdasarkan kes.

Misalnya menganjurkan program bersama untuk mendidik pengundi berhubung undang-undang baru kerajaan yang membenarkan warga negara berumur 18 tahun mengundi.

Katanya, ini merupakan pilihan lebih baik berbanding meminta dana langsung.

“Dengan cara itu tiada syarat ditetapkan dan sebagai anggota sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita masih boleh mengkritik kerajaan selepas itu,” katanya.

Bersih diwujudkan pada 2006 oleh pemimpin beberapa parti politik, kumpulan masyarakat sivil dan NGO sebelum ia dilancarkan semula sebagai gerakan masyarakat sivil pada 2010.

Ia pernah mengajurkan himpunan gergasi bagi menuntut reformasi pilihan raya, termasuk penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya.