2 tentera hilang ketika bertugas di Pulau Perak

Dua anggota tentera darat hilang ketika bertugas di kawasan Op Pejarak di Pulau Perak, Kedah. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Dua anggota tentera darat dilaporkan hilang ketika bertugas di kawasan Op Pejarak di Pulau Perak, Kedah sejak Jumaat lalu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini mengesahkan kehilangan Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers.

Kedua-duanya dari Batalion Ke-4 Rejimen Renjer Diraja (4RRD) yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

“Kedua-dua anggota itu dikesan hilang pada lewat malam itu (19 Julai) ketika ketua penempatan membuat pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan anggota.

“Pencarian dijalankan selepas itu, namun terpaksa dihentikan ekoran cuaca tidak menentu,” menurut kenyataan itu.

Tentera darat dengan kerjasama tentera laut, tentera udara dan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengatur gerak aset serta giat menjalankan pencarian sejak 10 pagi Sabtu lalu.

Op Pejarak ialah operasi di bawah kawalan Markas Pemerintahan Armada Barat tentera laut yang menempatkan anggota tentera darat di 2 pulau antara perairan Kedah dan Perak.