4 loji air di Sungai Selangor dicemari diesel kerana sabotaj, kata menteri

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berkata, pencemaran diesel yang dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang berpunca daripada aktiviti mengorek pasir di hulu sungai.

PETALING JAYA: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata siasatan polis mengesahkan wujud unsur sabotaj dalam pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan 4 loji rawatan air utama di Lembah Klang semalam.

“Saya telah dimaklumkan elemen sabotaj memang telah dikenal pasti oleh pihak polis melalui siasatan mereka,” tulisnya di Twitter hari ini.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dilaporkan berkata, pencemaran diesel dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Katanya, pencemaran diesel itu berpunca daripada aktiviti mengorek pasir di hulu sungai yang menyebabkan 4 LRA itu dihenti tugas bermula 6 petang semalam, sebelum ia beroperasi semula kira-kira 3.30 pagi tadi.

Susulan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat laporan pagi tadi dan menggesa polis menyiasat jika wujud unsur sabotaj dalam pencemaran bau dan diesel di 4 LRA itu sejak Jumaat lalu.

Terdahulu, syarikat perlombongan pasir milik kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd berkata, ia sedang menyiasat kemungkinan sabotaj dan khianat menjadi punca tumpahan diesel di Sungai Selangor semalam.

Katanya, tumpahan diesel itu dikesan kira-kira 6.15 petang semalam dekat Kolam Hang Tuah.