6 polis dibebas, reman peguam dan DPP dilanjut 2 hari, kata SPRM

Azam Baki berkata, seorang peguam dan seorang timbalan pendakwa raya direman sehingga esok.

KUALA LUMPUR: Reman terhadap seorang peguam dan seorang timbalan pendakwa raya (DPP) yang ditahan kerana disyaki terbabit rasuah melibatkan pendatang tanpa izin dilanjutkan 2 hari dan berakhir esok.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Azam Baki berkata 6 anggota polis yang sebelum ini direman untuk membantu siasatan dibebaskan hari ini.

“Saya hanya boleh mengesahkan tempoh reman seorang peguam dan seorang DPP dilanjutkan, manakala 6 polis yang ditahan pula dibebaskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Kota menyifatkan penahanan peguam dan DPP itu sebagai kes serius.

Sabtu lalu, 6 polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor bersama seorang DPP dan peguam ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.