Ajar pengundi 18 tahun mengenai demokrasi dahulu, kata penganalisis

Lee Kuok Tiung berkata, terlalu awal untuk menentukan sama ada parti pemerintah atau pembangkang yang akan mendapat manfaat daripada dasar pengundi 18 tahun.

KOTA KINABALU: Seorang penganalisis politik berkata, Dewan Rakyat tergesa-gesa meluluskan usul menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun kerana anak muda perlu dididik mengenai hak yang bakal diberikan kepada mereka terlebih dahulu.

“Tak salah mengambil lebih banyak masa mengenai perkara ini,” kata Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah kepada FMT.

Beliau berkata, ada banyak perkara yang perlu dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya “contohnya SPR perlu membersihkan daftar pemilih terlebih dahulu”.

Minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk pendaftaran automatik rakyat berusia 18 tahun sebagai pengundi dan mereka juga dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

Lee Kuok Tiung.

Lee berkata, Malaysia perlu mencontohi negara lain yang membenarkan rakyat 18 tahun mengundi dan mendidik mereka mengenai demokrasi serta mengundi pada usia muda.

“Jika kita mahu mengikut negara lain yang membenarkan 18 tahun mengundi, kita perlu mengambilnya sebagai ‘pakej’ yang bermakna kita juga perlu merombak atau ubah suai sistem pendidikan kita.”

Katanya, dasar baru itu tentunya akan mengubah dinamik politik Malaysia dengan kumpulan besar pengundi muda diberikan kuasa dan tanggungjawab untuk menentukan hala tuju politik negara.

Lee berkata, dasar baru itu ialah pengubah keadaan berpotensi untuk ahli politik mendengar suara pengundi di peringkat sekolah menengah, kolej dan universiti.

Katanya, guru sekolah dan pensyarah universiti memainkan peranan secara tidak langsung dalam membentuk pemikiran pengundi muda.

“Kita perlu pertimbang budaya kita – anak-anak yang patuh mungkin hanya mengikut ibu bapa, guru atau pensyarah mengenai siapa yang patut diberikan undi.”

Beliau menyifatkannya sebagai mitos mengenai tanggapan yang anak muda akan mengundi Pakatan Harapan kerana terlalu awal untuk mengatakan sama ada parti pemerintah atau pembangkang yang akan mendapat manfaat daripada dasar baru itu.

“Mereka ada cara berfikir sendiri dan keutamaan mereka.

“Tetapi, yang pasti ialah kita perlu memberi lebih banyak perhatian terhadap suara dan kebimbangan anak muda.

“Jangan mudah menilai mereka tidak matang berdasarkan usia mereka kerana ramai pengundi ‘lebih tua’ mempunyai pemikiran tidak matang.”