Apa perkembangan siasatan projek Taman Rimba Kiara, Yeoh tanya SPRM

Hannah Yeoh bercakap kepada media di pusat komuniti TTDI di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberitahu perkembangan terkini siasatan ke atas projek Taman Rimba Kiara (TRK) yang menyaksikan pertikaian antara beiau dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail serta Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) membuat banyak laporan kepada SPRM mengenai kemungkinan wujud konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa.

“Orang ramai ingin tahu mengenai perlindungan kawasan hijau dan perjuangan Pakatan Harapan terhadap rasuah,” katanya dalam sidang media di pusat komuniti TTDI di sini.

Beliau berkata, apabila Latheefa Koya dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, beliau menulis satu lagi surat kepada agensi anti-rasuah itu.

“Tetapi, kami belum dapat sebarang kemas kini daripada SPRM. Sehingga hari ini, Kabinet belum membuat keputusan mengenai TRK.

“Saya berharap SPRM akan memberi input dan penemuan kepada kami secepat mungkin.”

Yeoh berkata, C4 turut mengeluarkan penemuan baru dan terperinci yang sudah diserahkan kepada SPRM.

“Harapan saya ialah SPRM akan meneliti semua laporan yang sudah dibuat dan juga laporan baru yang dibuat Persatuan Penduduk TTDI minggu lalu.

Penyelaras Jawatankuasa Kerja Save Taman Rimba Kiara (STRK), Leon Koay turut mengkritik kekurangan perkembangan mengenai laporan dibuat pihaknya.

Katanya, STRK menyerahkan laporan terbaru kepada SPRM pada 16 Julai lalu.

“Ini ialah serahan ke-4 yang kami buat sejak 2017.”

Cadangan pembangunan TRK merangkumi pembinaan 8 blok kondominium mewah setinggi 43 hingga 54 tingkat, termasuk satu blok 350 unit pangsapuri mampu milik setinggi 29 tingkat bagi menempatkan penduduk asal rumah panjang TTDI.