Hong Kong: Polis siasat insiden ganas semasa protes bantah undang-undang ekstradisi

Protes besar-besaran meletus di Hong Kong pada awal Jun kerana membantah pindaan baru dalam rang undang-undang ekstradisi kerajaan. (Gambar Facebook)

BEIJING: Polis Hong Kong kini menyiasat insiden keganasan yang tercetus semasa protes besar-besaran di bandar itu pada Ahad, lapor agensi berita Sputnik.

Menurut polis, beberapa penunjuk perasaan merempuh halangan polis di daerah Sheung Wan, membakar serta melempar batu dan bom koktail Molotov ke arah polis menyebabkan beberapa anggota dan pegawai cedera.

Suspek tidak dikenali turut menyerang penumpang di stesen kereta api bawah tanah Yuen Long, menurut polis.

“Polis menyelar insiden yang berlaku di Sheung Wan dan Yuen Long itu. Polis tidak bertolak ansur dengan sebarang tingkah laku ganas. Polis kini aktif menyiasat kedua-dua kejadian dan akan membawa pelaku ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu.

Pada Ahad, kira-kira 430,000 orang menyertai bantahan besar-besaran di Hong Kong, menurut pihak penganjur Barisan Hak Asasi Manusia.

Polis menganggarkan bilangan penunjuk perasaan tidak melebihi 140,000 orang.

Pegawai polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang menghalang lebuh raya dan merosakkan bangunan kerajaan.

Protes besar-besaran meletus di Hong Kong pada awal Jun kerana membantah pindaan baru dalam rang undang-undang ekstradisi kerajaan.

Pindaan itu, andai diluluskan, akan membenarkan pelarian dipindah ke kawasan di mana Hong Kong tidak mempunyai bidang kuasa atau mencapai sebarang persetujuan.

Berikutan tekanan yang diterima, kerajaan menunda pindaan rang undang-undang itu, manakala Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam turut mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, penunjuk perasaan masih menuntut pindaan itu ditarik sepenuhnya.