Jelaskan kekaburan tentang lokasi Empangan Papar, kata pembantu menteri

Pembantu Menteri Pendididkan dan Inovasi Sabah Jenifer Lasimbang (berjaket) merasmikan acara di perpustakaan negeri di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Sewaktu teka-teki berhubung lokasi sebenar tentang cadangan Empangan Papar terus tidak berjawab, seorang pembantu menteri dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) hari ini mengaku beliau juga tidak tahu tentang lokasi tepat empangan itu.

Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi negeri dan Adun Moyog, Jenifer Lasimbang, mengaku maklum wujudnya kebimbangan mengenai lokasi di mana projek kontroversi itu akan dibina.

Jenifer, yang menggesa Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri supaya mendedahkan lokasi projek itu berkata, “kita belum lihat apa-apa secara hitam putih.”

Katanya, beliau maklum bahawa Mondoringan di Ulu Papar, yang dilawati oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur Peter Anthony sebelum ini, dicadangkan sebagai lokasi empangan tersebut, namun belum ada pengumuman rasmi dibuat mengenainya.

“Jadi kita mahukan satu kenyataan rasmi, kertas kerja dan laporan lain,” kata Jenifer.

“Kita perlu hormat hak asasi manusia dan hak masyarakat pribumi kita.

“Kita perlu melalui proses persetujuan bebas dan bermaklumat yang penting dan rumit itu.

“Kita perlu pastikan rakyat percaya bahawa kerajaan menjunjung prinsip ketelusan, akauntibiliti dan tanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di sini, hari ini.

Jenifer sebelum ini membantah projek Empangan Kaiduan di kawasan Parlimen Penampang di mana terletaknya kerusi Dewan Undangan Negeri Moyog.

Beliau berkempen membantah projek tersebut yang kini dibatalkan bersama-sama ahli Parlimen Penampang Darell Leiking berserta adik beliau Jannie, yang kini merupakan Adun Kapayan. semasa mereka menjadi pembangkang sebelum pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas.

Pembatalan projek Empangan Kaiduan tahun lepas melegakan penduduk, tetapi harapan mereka segera berkubur apabila kerajaan negeri membuat pengumuman bahawa ia kini merancang untuk membina Empangan Papar.

Jenifer berkata, beliau bertemu penduduk tempatan dan ketua kampung di Moyog, termasuk ketua kampung Ulu Papar pada Sabtu bagi mendapatkan maklum balas mereka mengenai projek Empangan Papar.

“Kami berbincang panjang. Kampung mereka merupakan sebahagian daripada kawasan yang terkesan sekiranya empangan itu dibina.

“Mereka meminta saya supaya menggesa Kementerian Pembangunan Infrastruktur mengadakan dialog bagi membolehkan mereka mendapat maklumat lanjut berhubung projek itu dan mengambil langkah sesuai,” kata beliau.

Jenifer berkata, reaksi yang diterimanya setakat ini bercampur-campur.

“Sesetengahnya menolak terus projek itu, sementara yang lain mahukan maklumat lanjut. Ada juga yang berkata mereka tidak kisah kerana mereka memerlukan air,” katanya.

Ditanya tentang pandangannya sendiri, Jenifer berkata.” kami membantah projek Empangan Kaiduan sebelum ini, tetapi dengan peranan baru sebagai wakil rakyat, saya perlu mendengar dan memajukan pandangan orang ramai. Pandangan saya sendiri tidak penting.”

Katanya beliau kini berunding dengan Ketua Menteri Shafie Apdal dan Anthony berhubung isu itu dan akan terus berbuat demikian.