Kementerian Kesihatan siasat jualan gula berasap seperti rokok pada pelajar

Gula-gula ‘Ghost Smoke’ dikatakan dijual secara berleluasa di Papar dan daerah lain di Sabah, termasuk Kota Kinabalu dan dibeli pelajar sekolah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan Kementerian Kesihatan memulakan siasatan dan penguatkuasaan berhubung penjualan gula-gula “Ghost Smoke” di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu secara menyeluruh dan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Katanya, beliau belum mendapat laporan dari mana datangnya gula-gula itu.

“Ia (penjualan gula-gula Ghost Smoke) adalah sesuatu yang mengejutkan dan cara ia dipasarkan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Perkara ini sudah kita perhatikan dan akan mengambil tindakan segera. Kita tidak akan membenarkannya,” katanya selepas melancarkan program “Neuropsychiatry Masterclass 2019” hari ini.

Semalam, media melaporkan ibu bapa bimbang dengan gula-gula “Ghost Smoke” yang mengeluarkan asap seperti rokok apabila disedut, yang dikatakan dijual secara berleluasa kepada pelajar sekolah di Papar dan daerah lain di Sabah, termasuk Kota Kinabalu.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, 8 pelajar dan seorang guru mengalami sesak nafas dan dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Pasir Gudang semalam.

“Tiada yang ditahan di dalam wad. Mereka semua dikatakan terhidu bau busuk dan bau bahan terbakar pada waktu pagi,” katanya sambil menambah 9 kes itu membabitkan 3 lelaki dan 6 perempuan dari 4 sekolah.

Katanya, sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort (3 pelajar), SK Kopok (2 pelajar), SK Taman Rinting 3 (2 pelajar dan seorang guru) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2 (1 pelajar).

Beliau berkata, pihaknya menyedari terdapat 2,500 kilang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia di Pasir Gudang.

“Kalau ini adalah punca tercetusnya pelbagai (kes kesihatan), itu sangat kita fahami dan pakar-pakar psikiatri kita tahu ini boleh mencetuskan sindrom serangan panik berulang.”