Kenapa bina LRT bila ART sama baik tapi jauh lebih murah?

Anggota jawatankuasa pemandu Penang Forum, Lim Mah Hui (kiri).

GEORGE TOWN: Pengkritik pelan induk pengangkutan Pulau Pinang mempersoalkan keputusan kerajaan negeri untuk tidak menimbangkan pembangunan Sistem Aliran Autonomi (ART), yang menurutnya lebih sesuai dan menjimatkan kos berbanding Sistem Aliran Ringan (LRT) yang diluluskan baru-baru ini.

Penang Forum berkata, ART, sebuah sistem hibrid trem-kereta api-bas, terbukti berjaya di China dan lebih murah untuk dibina dan diselenggara.

Jurucakapnya, Lim Mah Hui menyoal sama ada kerajaan negeri menolak tawaran sebuah syarikat China untuk membina sistem ART di Bayan Lepas dan Seberang Perai pada harga RM1 bilion.

LRT dari Komtar ke Lapangan Terbang Pulau Pinang yang dikenali sebagai jajaran Bayan Lepas akan menelan belanja sebanyak RM8.5 bilion. Pihak berkuasa persekutuan meluluskan pembinaannya baru-baru ini.

Lim juga bertanya sama ada cadangan syarikat dari China itu ditolak oleh kerajaan Pulau Pinang walaupun kosnya hanya 1/10 daripada kos LRT.

Katanya ART boleh dibina dalam masa beberapa bulan sahaja berbanding 6 tahun yang diperlukan untuk membina LRT. Kos operasinya juga lebih murah dan lebih fleksibel untuk pengembangan pada masa depan.

Beliau juga berkata, kelajuan ART dan kapasiti penumpangnya tidak jauh berbeza daripada LRT.

“Justeru kenapakah kerajaan negeri memilih LRT? Apakah justifikasi mereka?” soal Lim.

FMT telah menghubungi kerajaan Pulau Pinang bagi mendapatkan respons.

Lim menolak alasan bahawa LRT tidak mengambil banyak ruang berikutan strukturnya yang bertingkat.

Katanya rasuk LRT sahaja sudah hampir mengisi satu lorong jalan raya.

“ART juga boleh dibina bertingkat dan mendaki cerun lebih curam sehingga 13 darjah yang tidak boleh dicapai oleh LRT. Kami tidak membantah landasan bertingkat, tetapi hanya di persimpangan kritikal. ART juga boleh dibuat begitu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kelihatan gagal belajar mengenai amalan pengangkutan terbaik daripada lawatannya ke China dan Jepun.

Lim menggesa audit dibuat ke atas semua lawatan ke luar negara supaya hasilnya boleh diketahui.

“Saya tidak menentang langkah membuat lawatan belajar ke negara luar, kerana jika tidak, kita akan menjadi seperti katak di bawah tempurung.

“Tetapi hasilnya mesti ada. Perlu juga ada ketelusan dan akauntibiliti,” katanya.

Rakan penyampai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, SRS Consortium berkata, ART merupakan sistem yang masih baru berbanding RT.

Ia berkata, ART tidak mampan dalam jangka panjang kerana faktor pertambahan penduduk.

ART menggunakan kuasa elektrik atau bateri mudah-caj. Ia mempunyai fleksibiliti untuk bergerak seperti bas.

ART 3 gerabak boleh membawa 300 penumpang, sementara pilihan maksimum 5 gerabak membawa 500 orang. Ia mempunyai radius membelok 15m.

Kereta api itu biasanya bergerak di pertengahan jalan raya dan berkemampuan merentang ke kiri atau kanan dengan menggunakan sensor untuk memandunya melepasi lalu lintas.