Konflik Anwar-Azmin, Saifuddin minta ahli PKR elak buat kenyataan terbuka

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

PUTRAJAYA: Ahli dan pemimpin PKR diminta mengikut saluran yang betul untuk mengkritik parti, bukannya terus membuat kenyataan terbuka kepada media.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, saluran dan biro dalaman parti merupakan platform terbaik bagi meredakan kemelut melibatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali berhubung isu video seks.

“Kita akui ada lagi proses siasatan yang sedang berjalan. (Bincang secara dalaman parti) itulah cara kita membantu meredakan ‘suhu tinggi’ apabila ia menjadi topik hangat, selain tidak menenggelamkan kerja yang dibuat oleh kerajaan.

“Seorang anggota parti apabila dia daftar sebagai anggota, maka dia tahu bahawa kita ada perlembagaan parti.

“Biro politik menjadi pentas kita (untuk berbincang). Jadi adalah lebih molek perkara yang mereka sudah tahu dikongsi dalam mesyauarat parti barulah ada jalan penyelesaiannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perunding Penjaja dan Perniaga Kecil Kebangsaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, kemelut dalaman PKR melibatkan Anwar dan Azmin boleh diselesaikan dengan cara baik.

“Saya percaya tidak ada kemelut yang tidak boleh diselesaikan melalui proses perbincangan. Parti menyediakan platform yang cukup untuk semua pimpinan,” katanya, selain memberitahu bahawa Anwar sebelum ini menerima baik laporan siasatan polis yang mengesahkan identiti individu dalam video berkenaan tidak dapat dikenali.

Anwar sebelum itu juga dilaporkan menggesa Azmin melepaskan jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, jika terbukti beliau terbabit dalam klip video itu.

Berikutan kenyataan presiden PKR itu sebilangan pemimpin kanan parti berkenaan yang dilihat pro Azmin mempersoalkan tindakan beliau yang disifatkan “memecah belah kesatuan parti”.

Ketegangan antara 2 pimpinan utama PKR berterusan apabila Azmin tidak hadir majlis pemukiman pimpinan parti itu selama 3 hari di Port Dickson yang berakhir semalam.

Dalam pada itu pada sebelah malamnya, penyokong Anwar dan Azmin mengadakan majis salat hajat secara berasingan di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Azmin ketika berucap di hadapan lebih 500 hadirin berkata, beliau tidak pernah mengkhianati persahabatan dan sentiasa setia kepada perjuangan parti, tetapi pada saat sama menyebut bahawa “kesetiaan ada batasnya”.

Beliau juga mengakui tahu tentang “dalang” di sebalik video berkenaan.