Menteri pertahanan baru Jerman mahu bajet ketenteraan ditambah

Menteri Pertahanan Jerman yang baru, Annegret Kramp-Karrenbauer akan mengangkat sumpah di Parlimen Jerman atau Bundeastag pada Rabu. (Gambar AFP)

KAPSYEN: Menteri Pertahanan Jerman yang baru, Annegret Kramp-Karrenbauer akan mengangkat sumpah di Parlimen Jerman atau Bundeastag pada Rabu.

BERLIN: Menteri Pertahanan Jerman yang baru dilantik Annegret Kramp-Karrenbauer pada Ahad meminta agar perbelanjaan ketenteraan dinaikkan dengan ketara bagi memenuhi matlamat NATO, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media.

Jerman menjanjikan NATO “satu komitmen yang jelas” untuk mempertingkat perbelanjaan pertahanannya kepada 2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2024.

“Adalah jelas Jerman perlu bergerak ke arah ini,” kata Kramp-Karrenbauer dalam satu temu bual dengan Allgemeine Sonntagszeitung yang berpangkalan di Frankfurter.

Kramp-Karrenbauer berkata, beliau mempunyai pandangan yang kritikal terhadap pelan bajet pertahanan pada tahun-tahun akan datang kerana ia mungkin mengakibatkan kemerosotan dalam nisbah perbelanjaan pertahanan.

Menurut statistik, kos perbelanjaan tentera adalah kira-kira 1.24% daripada KDNK Jerman pada 2018, dan nisbah itu mungkin hanya meningkat kepada 1.25% menjelang 2023 jika tiada bajet tambahan diberikan.

Dalam temu bual itu, Kramp-Karrenbauer turut menekankan peranan yang dimainkan NATO dalam keselamatan Jerman.

Kramp-Karrenbauer, 56, dilantik sebagai menteri pertahanan pada Rabu selepas pendahulunya, Ursula von der Leyen dipilih sebagai ketua Suruhanjaya Eropah seterusnya.

Beliau akan mengangkat sumpah secara rasmi di Dewan Rakyat Parlimen Jerman yang dikenali sebagai Bundeastag pada Rabu.