Merdeka satu pilihan jika Putrajaya gagal pulih hak Sarawak, kata NGO

Peserta berpakaian tradisional pada acara sambutan hari kemerdekaan Sarawak yang dianjurkan oleh Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak di Kuching hari ini.

KUCHING: Kemerdekaan adalah satu pilihan sekiranya Putrajaya enggan mengembalikan hak Sarawak, kata presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa), Dominique Ng.

“Kita bukan hanya bercakap tentang royalti minyak 20%. Kita bercakap mengenai mengambil balik semua yang menjadi hak kita,” katanya selepas majlis sambutan hari kemerdekaan Sarawak di sini, hari ini.

Ng berkata, ramai rakyat Sarawak, termasuk golongan belia, mula menyedari kepentingan negeri itu mempunyai kebebasan untuk mengurus hal ehwalnya sendiri.

“Kita bukan menghasut. Kita bercakap tentang kebebasan kita yang disokong oleh Resolusi 1514 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai pemberian kemerdekaan kepada negara yang dijajah dan rakyatnya.

“Sarawak dijanjikan kerajaan sendiri di bawah Perkara 8 Prinsip Utama ke-9 oleh Rajah Sarawak terakhir pada 1946.

“Ini adalah hak perlembagaan yang diberikan oleh Rajah terakhir kita,” katanya, dengan menambah bahawa Sarawak dikenali sebagai sebuah negara berdaulat selama 100 tahun.

Bagaimanapun kata Ng, Sabah dan Sarawak telah “diturunkan taraf” sebagai negeri ke-12 dan 13 dalam Malaysia.

Presiden Sapa, Dominique Ng.

Katanya, “pada 16 September penjajah bertukar daripada Britain kepada Persekutuan Malaya”.

“Ini adalah realiti sedih yang gagal difahami banyak orang,” kata beliau.

Terdahulu, Ng mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan permohonan untuk mengadakan acara itu di Padang Pusat Kuching.

“Ini merupakan kali pertama mereka memberi permit kepada Sapa untuk menganjurkan hari kemerdekaan Sarawak.

“Acara hari ini sangat berjaya walaupun hujan sejak awal pagi,” katanya.

Acara tersebut yang dihadiri beberapa ratus orang merupakan anjuran bersama Sapa, Kongres Kebangsaan Dayak, Solidariti Anak Sarawak dan Sarawak untuk Rakyat Sarawak.

Antara aktiviti yang diadakan ialah nyanyian lagu negeri Sarawak, “Fairland Sarawak, diikuti acara menaikkan bendera negeri.

Juga diadakan ialah pertandingan tarik tali, deklamasi sajak dan pelepasan belon.