Pemandu bawa kanak-kanak atas but kereta bergerak ditahan

(Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai pemandu kereta Toyota Vios yang membawa kanak-kanak di atas but belakang kenderaan yang sedang bergerak, yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Ketua Polis Seri Alam, Ismail Dollah berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditahan pada kira-kira 7.45 malam tadi di rumahnya di Taman Nusa Damai, dekat Pasir Gudang, selepas polis bertindak atas maklumat orang awam.

“Polis juga sudah merampas kereta Toyota Vios yang dipercayai digunakan semasa kejadian tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki itu direman selama 2 hari sehingga esok.

Selain itu, pihaknya juga sedah merekodkan keterangan 3 kanak-kanak lelaki berumur antara 10 dan 12 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Beliau berkata salah seorang daripada kanak-kanak terbabit merupakan anak kepada pemandu Toyota Vios itu.

Katanya, pemandu terbabit akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung berkata aksi kanak-kanak yang berpaut pada bumbung kereta berkenaan perlu dipandang serius dan tidak sepatutnya berlaku memandangkan ia membahayakan diri mereka serta pengguna jalan raya lain.

Liow berkata orang ramai sepatutnya mendidik anak-anak agar tidak melakukan sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh mengundang bahaya pada diri sendiri.

“Tahniah kepada pasukan polis Seri Alam yang pantas menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik atau pemandu kereta tersebut serta kanak-kanak yang terbabit.

“Sememangnya tiada toleransi dan kompromi terhadap perbuatan sebegini dan diharap polis serta agensi penguatkuasaan lain akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya,” katanya.

Menurut Liow, pada masa sama, orang ramai yang menyaksikan perbuatan berbahaya seumpama itu diingatkan tidak sekadar merakamkannya tetapi perlu segera menghubungi polis supaya tindakan pantas dapat diambil.