PKR mungkin hadapi senario lebih buruk, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata, punca perselisihan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali ialah siapa yang akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

PETALING JAYA: Penganalisis politik memberi amaran lebih banyak konflik akan berlaku dalam PKR, walaupun kenyataan positif dikeluarkan 2 pemimpin tertingginya, Anwar Ibrahim dan Azmin Ali pada hujung minggu lalu selepas mereka berbalas kenyataan berhubung isu video seks sejenis.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan James Chin dari Universiti Tasmania berkata “perkara terburuk” mungkin berlaku dalam PKR yang akan memusnahkan parti itu.

Semalam, Anwar berusaha meyakinkan penyokongnya, beliau dan Azmin masih “satu pasukan”, manakala Azmin pula berkata, beliau dan presiden PKR itu bekerjasama untuk “banyak dekad”.

Walaupun timbalan presiden PKR itu dilihat menerima pelawaan berdamai daripada Anwar, beliau turut membangkitkan “kesetiaannya ada batas”.

Dua pemimpin itu tidak bersefahaman dalam kontroversi video seks sejenis dengan Anwar dilaporkan menggesa Azmin melepaskan jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, jika terbukti beliau terbabit dalam klip video itu.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, analisis menunjukkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi mereka tidak dapat mengenal pasti pelaku dalam video itu.

Azmi berkata, punca perselisihan Anwar dan Azmin ialah siapa yang akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Katanya, ia akan menghalang kemampuan Mahathir untuk mengakhiri persengketaan itu, walaupun menjadi neutral.

Berdasarkan perjanjian parti komponen Pakatan Harapan, Mahathir akan menyerahkan kuasanya kepada Anwar. Pengerusi PH itu berulang kali berikrar akan mengotakan janjinya, walaupun khabar angin terus mengatakan Azmin mungkin menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Chin meramalkan konfrontasi akan tercetus antara Anwar dan Azmin, kecuali ahli Parlimen Port Dickson itu berundur.

Bagaimanapun, katanya, Anwar mungkin tidak berbuat demikian kerana beliau sedang bersiap sedia untuk menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Beliau bersetuju Mahathir tidak dapat menghentikan perbalahan itu disebabkan persepsi beliau mahu Azmin menjadi penggantinya.

“Kebanyakan penyokong Anwar akan mengabaikan sebarang gesaan Mahathir (untuk menghentikan perbalahan).

“Perdamaian mungkin hanya berlaku apabila Anwar dan Azmin bersetuju dengan apa yang diperolehi masing-masing, apabila seorang daripada mereka menjadi perdana menteri.”

Katanya, faktor lebih penting ialah polis menyiasat klip video seks sejenis itu di mana penyiasat merujuk kepada seorang “pemimpin politik”.

Chin berkata, banyak perbalahan akan bermula dalam PKR bergantung kepada siapa sebenarnya “pemimpin politik” itu.

“Ia luar biasa walaupun populariti PH merosot, permainan ini masih berlaku.

“Ia bagaikan PH meminta untuk dikalahkan pada pilihan raya umum akan datang.”

Penganalisis dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi berkata persetujuan melantik Anwar sebagai perdana menteri ke-8 perlu dicapai untuk PKR mara.

“Lebih penting ialah Majlis Presiden PH perlu mengesahkan semula Anwar ialah satu-satunya pengganti Mahathir sebagai perdana menteri.

“Isu ini hanya akan diselesaikan pada hari Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di depan Yang di-Pertuan Agong.”