PMO nafi Dr M hantar emel rayu sokongan, promosi Bitcoin

PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap penyalahgunaan nama Dr Mahathir Mohamad oleh pihak tertentu untuk meraih sokongan.

PMO berkata Mahathir tidak pernah mengeluarkan emel kepada pengurusan tertinggi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk mendapatkan sokongan peribadi dalam menjayakan pentadbirannya.

“Sebarang bentuk komunikasi rasmi dari perdana menteri akan hanya dikeluarkan oleh PMO, dan bukannya dari emel peribadi beliau,” katanya dalam kenyataan.

PMO berkata Mahathir juga tidak pernah menyokong mana-mana laman web yang mempromosikan perniagaan matawang kripto, Bitcoin.

Ia menambah penyalahgunaan nama Mahathir itu telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

“PMO ingin menasihatkan sesetengah pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahguna nama dan kedudukan PM dalam surat-menyurat mahupun laman sesawang kerana ini adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.