Polis ambil keterangan Adun berhubung video seks mirip menteri

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan seorang Adun bagi membantu siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, Adun yang berusia 34 tahun itu hadir di Bukit Aman kira-kira 10 pagi tadi dan selesai memberi keterangan selama 1 jam setengah.

“Selain itu, tempoh tahanan reman seorang lelaki yang ditahan di Shah Alam Jumaat lepas yang tamat hari ini, disambung 2 hari lagi sehingga Rabu (24 Julai),” katanya ketika dihubungi.

Sehingga kini, polis menahan 11 individu termasuk bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz dengan 7 daripadanya dibebaskan selepas tempoh reman tamat serta keterangan diambil.

Baru-baru ini, klip video seks memaparkan aksi 2 lelaki tular di media sosial dan Haziq pada 12 Jun lepas mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam rakaman itu.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata analisis CyberSecurity Malaysia mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi.