RAM Ratings jangka inflasi meningkat kepada 1.6% pada Jun

Menurut RAM Ratings, setakat ini tekanan inflasi lebih rendah daripada yang dijangka, terutama daripada komponen makanan serta pengenalan semula SST September lepas.

KUALA LUMPUR: RAM Ratings menjangkakan kadar inflasi akan meningkat kepada 1.6% secara menyeluruh pada Jun, didorong oleh kesan asas yang rendah berikutan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun lepas.

Dalam kenyataannya hari ini, ia berkata, kadar inflasi merosot kepada 0.8% pada Jun 2018 selepas pemansuhan GST, daripada 1.8% pada bulan sebelumnya.

“Peningkatan inflasi Jun dijangka disebabkan oleh pelbagai faktor secara menyeluruh.

“RAM juga menyemak turun unjuran inflasi untuk 2019 sebanyak 1% daripada 1.6% sebelumnya,” kata ketua penyelidikannya Kristina Fong.

Beliau berkata, setakat ini tekanan inflasi lebih rendah daripada yang dijangkakan, terutama daripada komponen makanan serta pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada September lepas.

Ia berkata, subsidi bahan api bersasar yang masih belum dilaksanakan, yang akan menaikkan harga bahan api pengguna ke paras pasaran pada suku kedua 2019, merupakan satu lagi faktor penyumbang utama kepada semakan semula itu.

“Analisis sensitiviti kami menunjukkan bahawa untuk setiap kelewatan sebulan dalam pelaksanaan skim berkenaan, inflasi utama akan mengubah 0.05 mata peratusan daripada kes asas kami,” katanya.

“Sekiranya harga siling semasa dikekalkan apabila subsidi bersasar berkuat kuasa, inflasi utama akan turun pada 0.8% tahun ini,” kata Fong.