‘Samseng’ peras Rohingya di Malaysia untuk biaya militan, kata laporan

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism Cawangan Khas, Ayob Khan Mydin Pitchay. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Satu kumpulan militan yang berpangkalan di Myanmar peroleh kira-kira dana RM80,000 dari pelarian Rohingya di Malaysia untuk membeli senjata api dan peluru, kata Bukit Aman kepada South China Morning Post (SCMP).

Akhbar memetik Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism Cawangan Khas, Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai berkata Tentera Pembebasan Rohingya Arakan mendapatkan dana menerusi pakatan ‘samseng’ pemerasan di 7 negeri di Semenanjung.

“Rohingya diperas di Kedah, yang seperti pusatnya, (dan) Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor,” kata Ayub kepada SCMP.

Beliau menambah kedai-kedai yang dikunjungi Rohingya pada hari minggu juga menjadi sasaran.

Maklumat itu muncul di sebalik penangkapan 4 Rohingya di Malaysia baru-baru ini, kata laporan itu.

Ayub berkata dana itu akan dihantar ke Arsa melalui Bangladesh dengan menggunakan ejen seperti hawala dan Western Union.

Kerajaan Myanmar mengisytiharkan Arsa sebuah pertubuhan pengganas, tetapi kumpulan itu berkata ia memperjuangkan hak Rohingya.

Tetapi Ayob berkata hanya “sebilangan kecil” Rohingya di Malaysia terlibat dengan Arsa, dan kebanyakan mereka menolak kumpulan itu.

“Ramai memberikan wang kepada Arsa kerana mereka diancam.

“Mereka ada keluarga di negeri Rakhine di Myanmar dan Arsa mengancam akan mencederakan keluarga mereka di sana,” katanya kepada SCMP.

Ayub berkata antara 4 lelaki Rohingya yang ditahan merupakan pelarian dengan dokumen UN, yang digambarkan sebagai watak utama dan pakatan pemerasan itu.

Mohamad Husin Jamal, juga dipercayai mempunyai kaitan dengan sel pro-IS dalam rancangan untuk menyerang sebuah kuil Hindu di Malaysia.

Dia sudah didakwa di mahkamah.