Siti Nurhaliza setanding Michelle Obama paling dikagumi di Malaysia?

Siti Nurhaliza Tarudin.

Penyanyi nombor 1 negara, Siti Nurhaliza Tarudin kini menduduki tangga teratas sebagai wanita paling dikagumi di Malaysia.

Portal YouGov, sebuah firma penyelidikan pasaran antarabangsa dan analisis data berasaskan internet mengumumkan Siti mendahului senarai 24 individu popular tanah air.

Dapatan kajian soal selidik YouGov mendapati Siti mengumpul sebanyak 20.01% untuk markah kekaguman (admiration score).

Manakala isteri perdana menteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menyusuli Siti di tangga ke-2 dengan markah 7.54% dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di tempat ke-3 dengan 7.19%.

Oprah Winfrey.

Tempat ke-4 dan ke-5 pula diisi oleh tokoh antarabangsa iaitu pengacara Oprah Winfrey dengan markah 6.4% dan Angelina Jolie (6.3%).

Antara tokoh antarabangsa lain yang disenaraikan ialah Ratu England Elizabeth II (nombor 9, 4.42%), penyanyi Taylor Swift (nombor 10, 4.4%) dan aktivis Malala Yousafzai (nombor 13, 2.11%).

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor pula berada di tempat ke-19 dengan markah 1.04%.

Michelle Obama.

Bagi kategori lelaki paling dikagumi di Malaysia, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mendahului senarai dengan markah 16%, diikuti angkasawan negara Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha (9.03%).

Nama lain dalam senarai tersebut termasuk pengasas Alibaba Group Jack Ma (nombor 5, 5.73%), legenda badminton Lee Chong Wei (nombor 6, 5.55%), pelakon Bollywood Shah Rukh Khan (nombor 13, 2.86%) dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan (nombor 10, 3.53%).

Najib Razak.

Najib berada di tangga ke-15 dengan markah 2.33%.

Bagi tahun ini, YouGov turut menyenaraikan pengasas Microsoft Bill Gates sebagai lelaki paling dikagumi di dunia (9.6%), diikuti bekas presiden Amerika Syarikat Barack Obama (9.2%) dan pelakon Hong Kong, Jackie Chan pada tempat ke-3 (5.7%).

Bagi kategori wanita pula, Michelle Obama berada pada tahap teratas selepas naik 8 anak tangga daripada senarai tahun lalu, diikuti Oprah dan Angelina yang jatuh 2 mata.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]