Sukar capai sasaran defisit fiskal 3% untuk 2020, kata Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal berdepan kesukaran untuk mencapai sasaran defisit fiskal 3% tahun depan berikutan ketidaktentuan berkaitan perang perdagangan AS-China, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu temu bual dengan Reuters hari ini.

Ekonomi ke-3 terbesar di Asia Tenggara itu kini menangani masalah beban hutang lebih RM1 trilion (AS$243.19 bilion) yang menurut pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berpunca daripada salah pengurusan kerajaan lepas.

Malaysia juga bergelut dengan kemerosotan kadar pertumbuhan ekonomi, yang disebabkan, terutamanya oleh pertumbuhan perlahan ekonomi dunia dan perang perdagangan antara AS dengan China.

Lim berkata, walaupun Malaysia boleh mencapai sasaran defisit fiskal 3.4% tahun ini, sasaran 3% untuk tahun depan lebih sukar.

Katanya, beliau juga “agak yakin” dalam mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini dari 4.3% ke 4.8%.