Tindakan menanti pencemar bau jejas 4 loji di Sungai Selangor, kata menteri

Penutupan Loji Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang pada Jumaat lalu menyebabkan hampir 5 juta pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terjejas. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam pencemaran bau pada sumber air mentah di loji rawatan air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Jumaat lalu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata SPAN sebagai badan kawal selia perkhidmatan air dan pembetungan akan melakukan siasatan serta mengambil tindakan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Agensi di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli iaitu SPAN, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Indah Water Konsortium mempercepatkan pemulihan, termasuk mengenal pasti punca pencemaran melalui ujian yang dilaksanakan di Batang Kali, Selangor pada Sabtu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jumaat lalu, Air Selangor menutup Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang bagi mengelakkan air tercemar diproses dan diagihkan kepada pengguna.

Penutupan itu mengakibatkan 1.16 juta pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terjejas bekalan air.

Xavier mahu setiap agensi kerajaan, terutamanya pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas memantau aktiviti di sepanjang pesisir sungai.

“Sekiranya PBT peka dengan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan seliaan mereka, insiden pencemaran sebegini dapat dielakkan dan ianya sudah tentu tidak akan membebankan pengguna seperti sekarang.”

Beliau menyarankan PBT menyita premis yang disyaki menjadi penyumbang pencemaran sungai dan mengambil tindakan lanjut, termasuk tindakan undang-undang kepada pihak terbabit.

Beliau turut menyarankan agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta agensi di bawah kerajaan negeri untuk mengambil langkah proaktif pencegahan melalui aktiviti pengauditan secara berterusan serta penguatkuasaan di sepanjang jajaran sungai, sama ada di Selangor atau negeri lain.

“Semua pihak dan agensi yang terlibat perlu memainkan peranan mencegah aktiviti yang mampu memudaratkan sungai sebagai sumber air mentah utama negara. Tugas memulihara sumber air bukanlah tugas agensi kerajaan tertentu semata-mata.”