Ukraine: Parti pemerintah dijangka menang pilihan raya Parlimen

Parti pimpinan Volodymyr Zelensky dijangka memperoleh antara 42 hingga 44% undi untuk menguasai Parlimen Ukraine. (Gambar AFP)

MOSCOW: Parti Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dijangka memenangi pilihan raya kilat Parlimen negara itu yang berlangsung pada Ahad, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Lima parti politik dijangka memenangi kerusi di Parlimen Ukraine, Verkhovna Rada.

Parti Hamba Rakyat yang dipimpin Zelensky, diramal memperoleh 42.7 hingga 44.4% undi.

Pembangkang Platform For Life, yang dianggap sebagai parti pro-Rusia, menyusuli dengan meraih sejumlah 11.5 hingga 12.5% undi.

Parti Solidariti Eropah yang diterajui bekas presiden Petro Poroshenko diunjur meraih sejumlah 8.5 hingga 8.9% undi.

Parti All-Ukrainian Union Fatherland pimpinan bekas perdana menteri Yuliya Tymoshenko pula dijangka meraih 7.7 hingga 8.5% undi.

Parti Voice yang diterajui penyanyi pop Svyatoslav Vakarchuk diramal memperoleh 6 hingga 6.5% undi.

Zelensky membubarkan Verkhovna Rada semasa upacara mengangkat sumpah jawatan beliau pada Mei, yang menyaksikan pilihan raya kilat berlangsung.