Zoo Negara gagal naik taraf kerana kurang modal, sokongan

Zoo Negara mencatatkan kehadiran 400,000 hingga 500,000 pengunjung pada 2018.

GOMBAK: Kekurangan dana dan kehilangan sokongan kerajaan ialah punca Zoo Negara gagal menaik taraf serta menyelenggara kemudahannya selepas 56 tahun ia ditubuhkan.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata menaik taraf kemudahan memerlukan kos yang banyak.

“Kita tidak ada masalah nak kendali Zoo Negara seperti bayar gaji pekerja, bonus dan pengurusan haiwan semua cukup.

“Cuma nak naik taraf saja tak cukup sebab modalnya mahal, ditambah dengan ekonomi agak ketat masa ini,” katanya kepada FMT baru-baru ini mengenai masalah sebenar dihadapi pihaknya.

Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berharap Zoo Negara akan menerima sejuta pengunjung suatu hari nanti.

Rosly berkata, masalah kewangan Zoo Negara bertambah teruk apabila geran persekutuan 5 tahun sebanyak RM5 juta tamat pada 2004.

Kini, katanya, Zoo Negara yang sudah berusia 56 tahun itu hanya bertahan berdasarkan bantuan kerajaan “one-off” untuk penyelenggaraan dan pemeliharaan.

“Kalau sudah 56 tahun ini, macam-macam perlu dilakukan. Setiap kayu atau besi yang digunakan mestilah hati-hati untuk dipilih bagi menjamin keselamatan awam dan haiwan itu sendiri dan sebab itu saya kata tidak murah kosnya.”

Dana kerajaan

Rosly berkata, selepas pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap Zoo Negara, termasuk penyalahgunaan kuasa, ia hanya akan menerima bantuan kerajaan dari segi pembangunan.

“Misalnya mencantikkan kawasan parkir Zoo Negara dan jalan-jalan untuk haiwan seperti harimau dan gajah. Kosnya berbilion dan kita tidak mampu. Begitu juga dengan lanskap Zoo Negara.”

Kehadiran pengunjung

Rosly menafikan jumlah pengunjung berkurangan disebabkan ia sudah hilang daya tarikannya.

“Pengunjung Zoo Negara secara harian kita capai. Tak benar kata tak ramai. Orang muda kurang, tetapi kelompok secara berkeluarga dan pelancong banyak.”

Beliau berkata, Zoo Negara berjaya mencapai sasaran tahun lalu dengan kehadiran 400,000 hingga 500,000 pengunjung.

“Pada tahun ini, kita sudah mencapai jumlah pengunjung sebanyak 200,000 orang sebab itu kita harap orang datang dan duit itu untuk dijadikan modal. Kalau tak ada (pengunjung, kita akan) susah hati.”

Katanya, pelancong dari negara Arab paling ramai, iaitu kira-kira 20% dan paling sedikit dari China kerana ada terlalu banyak zoo di negara mereka.

“Ini disebabkan ada panda. Arab tak kira ada panda ke tak dia datang.”

Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, pelancong China paling sedikit kerana ada terlalu banyak zoo di negara mereka yang turut mempamerkan panda.

Zoo Negara mencatat rekod 708,000 pengunjung pada 2014, ketika China menghadiahkan 2 ekor panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang kepada Malaysia.

Rosly menaruh harapan Zoo Negara mampu menerima sejuta pengunjung suatu hari nanti.

Katanya, jika sasaran itu dapat dicapai setiap tahun, hasil daripada jualan tiket mampu menampung kos menaik taraf Zoo Negara.

“Sebab itu pengiklanan sangat penting dan ini sedang diusahakan Zoo Negara. Selagi tak ada iklan, orang tidak tahu.

“Macam dulu masa panda datang, hari-hari masuk surat khabar. Sampai orang kenamaan datang seperti Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri.

“Bila tular ada risiko positif dan negatif. Kalau tidak ada iklan, perbandingan ketara misalnya pada 2014, masa panda datang hampir 800,000 orang dalam masa setahun. Tetapi lepas 6 bulan pertama, angka itu menurun.”

Beliau berkata, harga tiket Zoo Negara tidak terlalu mahal berbanding zoo lain di Lembah Klang dan Singapura.

“Kalau nak cakap dari segi harga mahal, RM45 seorang untuk dewasa saya rasa tak mahal.

“Kalau buat kajian di dalam Lembah Klang, satu tempat itu ada haiwan tertentu saja, tetapi harga tiket melebihi RM30 dan boleh lihat dalam 30 minit, sedangkan kita ada macam-macam haiwan, termasuk panda.”

Katanya, kebanyakan pengunjung akan menghabiskan sekurang-kurangnya 3 jam untuk melawat Zoo Negara dan ia turut mengadakan pelbagai pertunjukan haiwan yang disaksikan kira-kira 95% pengunjung.