Johor salahkan najis merpati punca pelajar di Pasir Gudang sesak nafas

Mohd Khuzzan Abu Bakar (kiri), Aminolhuda Hassan (2 dari kanan) dan Selahuddeen Abd Aziz (2 dari kiri) diiringi Guru Besar SK Tanjung Puteri Resort, Padzlan Monthel meninjau keadaan kelas dipenuhi najis merpati yang bersarang di siling ketika mereka melawat sekolah itu hari ini. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan insiden pelajar Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort di Pasir Gudang, di sini, mengalami sesak nafas dan muntah berulang berpunca daripada pencemaran najis dan hama burung merpati di beberapa bilik darjah sekolah terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pencemaran najis dan hama sejak sekian lama itu menyebabkan bau kurang menyenangkan.

“Ini mungkin juga antara faktor-faktornya (penyebab pelajar sesak nafas dan muntah). Jadi, kita minta Kementerian Pendidikan segera mengatasinya,” katanya selepas melawat sekolah itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan yang turut melawat sekolah itu berkata, najis burung bukan hanya di lantai kelas, tetapi turut didapati di balkoni tingkat 4 sekolah terbabit.

“Perkara ini dah lama nampaknya. Kalau tidak, mana mungkin ada banyak najis.

“Saya juga dimaklumkan pihak kementerian telah datang melawat dan diharap tindakan menutup ruang kemasukan burung ke bumbung kelas serta kerja pembersihan dapat dilaksanakan segera kerana kesannya dapat dilihat dari segi pernafasan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak, terutama bawah 12 tahun.”

Beliau turut meminta pihak sekolah dan guru menggunakan kelas lain buat sementara bagi mengelakkan pencemaran najis mengganggu pernafasan pelajar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata pencemaran najis burung itu boleh mengakibatkan simptom sesak nafas lebih teruk berbanding sekarang.

“Dalam istilah kesihatan, kita sebut ‘pneumonitis over lung’ yang membawa kepada beberapa simptom antaranya sesak nafas, namun ia bergantung berapa lama mereka terdedah kepada pencemaran.”