NGO bidas penahanan Orang Asli Temiar selepas roboh sekatan

Sekatan yang didirikan Orang Asli Temiar di Kampung Sungai Papan di Gerik untuk menghalang kemasukan pembalak. (Gambar Facebook COAC)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pencinta alam sekitar membidas penahanan 3 Orang Asli Temiar oleh polis yang merobohkan satu sekatan didirikan masyarakat itu di Kampung Sungai Papan di Gerik, Perak, hari ini bagi menghalang kemasukan pembalak.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) kecewa dengan penahanan berterusan Orang Asli yang mempertahankan hak tanah adat mereka.

Presidennya, Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kerajaan negeri yang menceroboh tanah adat Orang Asli, bukan sebaliknya.

Beliau menggesa rakyat memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk memastikan hak Orang Asli tidak dirampas.

Terdahulu, polis hari ini menahan 3 Orang Asli Temiar selepas merobohkan satu sekatan yang didirikan di Kampung Sungai Papan untuk menghalang kemasukan pembalak.

Pusat Prihatin Orang Asli (COAC) menerusi catatan di Facebooknya berkata, polis menahan Johari Aleuj, Pam Yeek dan Shukri Man serta merampas 5 motosikal dan sebuah kamera.

“Polis tidak memakai seragam dan diketuai ‘Sgt Hashim’ yang pernah bertembung dengan Orang Asli sebelum ini.”

Katanya, operasi itu dilakukan polis, pembalak dan pegawai Jabatan Perhutanan selepas Orang Asli membina semula sekatan itu yang dirobohkan semalam.

Sabtu lalu, 3 lagi Orang Asli Temiar ditahan apabila polis dan pembalak merobohkan satu sekatan di kampung terbabit.

Mereka dibebaskan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mengeluarkan satu kenyataan menggesa polis tidak memihak kepada pembalak.