PM: Hutang isi rumah Malaysia tinggi berbanding negara maju

Mahathir Mohamad ketika majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Bank Negara Malaysia, hari ini.

KUALA LUMPUR: Hutang isi rumah di Malaysia pada masa ini tinggi pada kadar 82.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad berkata, kadar tersebut adalah lebih tinggi berbanding negara yang mempunyai pendapatan perkapita yang tinggi seperti Itali (40.3% daripada KDNK), Jepun (58.1% daripada KDNK) dan Amerika Syarikat (76.3% daripada KDNK).

Beliau berkata wujud tanda kesukaran dalam kalangan peminjam untuk membayar balik hutang, meskipun risiko hutang isi rumah ke atas kestabilan kewangan domestik adalah terkawal.

Katanya, keadaan ini berlaku kepada peminjam yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan dan tinggal di kawasan bandar.

“Pemerhatian ini turut disokong oleh peningkatan bilangan peminjam yang menyertai Program Pengurusan Hutang (Debt Management Program) yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

“Saya difahamkan kira-kira 80% peserta program ini didapati terlalu optimistik tentang kemampuan mereka untuk membayar balik hutang dan menanggung kos sara hidup semasa mereka mengambil keputusan untuk meminjam.

“Ada yang tidak fikir akan membayar hutang apabila meminjam,” katanya pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran; Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Pengerusi SC, Syed Zaid Albar.

Mahathir berkata usaha untuk meningkatkan literasi kewangan ini menjadi amat penting dan merupakan pelengkap kepada inisiatif penggubalan Akta Kredit Pengguna untuk mengukuhkan rangka kerja perlindungan pengguna kredit di Malaysia.

Katanya, Akta Kredit Pengguna sedang digubal melalui kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Usahawan, BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta agensi lain berkaitan.

“Akta ini penting kerana ia bertujuan untuk memastikan pengguna kredit menerima layanan yang adil semasa berurusan dengan pemberi kredit.

“Penggubalan Akta ini akan disegerakan demi melindungi kepentingan pengguna dan menggalakkan pasaran kredit yang sihat,” katanya.