Polis beri amaran guna Sosma siasat pensabotaj cemar Sungai Selangor

Pencemaran diesel dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang yang berpunca daripada aktiviti mengorek pasir di hulu sungai. (Gambar Syarikat Bekalan Air Selangor)

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran akan menggunakan akta paling serius untuk menyiasat pensabotaj yang mencemarkan Sungai Selangor sehingga menyebabkan gangguan air besar-besaran di Lembah Klang susulan penutupan 4 loji rawatan air utama pada Ahad lalu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata siasatan akan dijalankan di bawah akta paling serius, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Katanya, beliau sudah mengarahkan ketua polis Selangor untuk turun padang mengetuai siasatan itu.

“Kita ambil serius perkara ini. Zaman dulu ada ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), mana-mana isu melibatkan sabotaj sebegini yang melibatkan utiliti, termasuk air dan elektrik, tindakan dikenakan di bawah ISA.

“Kalau ada bukti kerana melakukan sabotaj ke atas mana-mana prasarana, kepentingan umum, (mereka) boleh ditangkap di bawah Sosma dan didakwa di bawah undang-undang paling serius kerana kes ini melibatkan 4, 5 juta orang.

“Saya tidak akan teragak-agak bertindak,” katanya selepas Majlis Pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia hari ini.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata siasatan polis mengesahkan wujud unsur sabotaj dalam pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan 4 loji rawatan air utama pada petang Ahad.

Kelmarin, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dilaporkan berkata, pencemaran diesel dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Katanya, pencemaran diesel itu berpunca daripada aktiviti mengorek pasir di hulu sungai yang menyebabkan 4 LRA itu dihenti tugas bermula 6 petang Ahad, sebelum ia beroperasi semula kira-kira 3.30 pagi Isnin lalu.

Semalam, Bernama memetik Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin sebagai berkata, 3 pemancing di Sungai Selangor berdekatan Rantau Panjang disyaki mencemarkan sungai itu.

Katanya, siasatan awal mendapati kawasan dicemari diesel itu ialah lokasi Syarikat Two-B Machineries Sdn Bhd menjalankan aktiviti mengorek pasir yang bukannya tempat larangan dan sering menjadi tumpuan kaki pancing.

Beliau berkata, pengadu daripada syarikat itu membuat laporan polis kira-kira 10.30 malam Ahad lalu mendakwa wujud perbuatan khianat terhadap pontun menyimpan minyak syarikat terbabit di sungai berkenaan.

“Dua ke 3 hari lepas, ada pekerja menegur 3 pemancing supaya tidak memancing di situ, tetapi tidak diendahkan mereka.

“Berkemungkinan besar mereka tidak berpuas hati dengan teguran itu dan melakukan perbuatan khianat,” katanya sambil menambah hasil pemeriksaan awal mendapati klip hos tong simpanan minyak ditanggalkan menyebabkan kira-kira 100 liter diesel mengalir ke dalam sungai.