Sabah rampas produk ala vape sasar kanak-kanak

Seorang kanak-kanak lelaki menghembuskan asap daripada gula-gula vape berdasarkan tangkapan skrin daripada klip video yang dikongsikan di media sosial.

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa kesihatan Sabah merampas ratusan gula-gula yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut selepas ia dibimbangi mempengaruhi kanak-kanak mengamalkan tabiat merokok.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Frankie Poon berkata pegawainya merampas 766 produk “Ghost Candy” dan “Smoke Candy” di bandar seluruh Sabah bagi kesalahan pelabelan di bawah Akta Makanan 1983.

“Amaran juga dikeluarkan kepada semua sekolah untuk mengenal pasti dan menghentikan penjualan produk-produk ini di premis mereka,” katanya kepada FMT.

Poon berkata kawalan ketat terhadap jualan gula-gula itu selari dengan siasat menyeluruh perkara itu oleh Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad melahirkan kebimbangan produk seperti rokok itu tidak dijual dan dipasarkan kepada anak-anak sekolah.

“Perkara ini sudah kita perhatikan dan akan mengambil tindakan segera. Kita tidak akan membenarkannya,” katanya.

Dilaporkan gula-gula itu dijual di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di Sabah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Wilfred Madius Tangau berkata, gula-gula juga boleh dibeli dengan mudah di kedai-kedai di kawasannya di Tuaran.

“Produk ini perlu ditarik balik dan penjualannya diharamkan,” katanya dalam catatan Facebook.