Setpol Anwar, Haziq dijangka bebas hari ini selepas 8 hari reman

Penyokong menunggu pembebasan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA: Setiausaha politik kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz, lelaki di sebalik dakwaan video seks sejenis terhadap Menteri Azmin Ali, dijangka akan dibebaskan hari ini selepas 8 hari direman.

Farhash dan Haziq ditahan pada 16 Julai lalu dalam siasatan ke atas video seks sejenis yang menyasarkan Azmin.

“Kami menjangkakan pembebasannya (Farhash) selepas tengah hari,” kata peguam Baldip Singh kepada FMT.

Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Pada 12 Jun lalu, Haziq menggemparkan negara apabila dia menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video yang dikatakan dirakam di sebuah hotel di Sandakan, Sabah, namun menteri itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan Farhash dan Haziq akan dibebaskan pada 3 petang ini.

Seorang lagi individu yang ditangkap bersama Farhash di Masai, Johor juga akan dibebaskan hari ini, manakala seorang ahli perniagaan, yang ditangkap di Shah Alam pada 19 Julai lalu, akan dibebaskan esok susulan lanjutan tempoh reman yang sepatutnya berakhir Isnin.