2/3 bahagian di seluruh negara sokong Anwar, kata pemimpin PKR

Seorang pemimpin yang menyokong Anwar Ibrahim berkata, 45% bahagian di Selangor menyokong presiden PKR itu setakat ini.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR mendakwa lebih 2/3 ketua bahagian parti itu di seluruh negara menyuarakan sokongan kepada Presidennya, Anwar Ibrahim.

Kebanyakan sokongan itu datang dari Perlis, Perak dan Terengganu, manakala sokongan paling sedikit dari Selangor yang pernah diterajui Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ketika belliau menjadi menteri besar negeri itu.

Walaupun segelintir pemimpin menegaskan tiada perpecahan dalam PKR, tetapi pertelagahan antara Anwar dan Azmin menyaksikan ramai ketua bahagian mula menyuarakan sokongan masing-masing.

Seorang pemimpin yang menyokong Anwar dan terbabit dalam pengumpulan tandatangan berkata, mereka mendapat sokongan 150 daripada 218 bahagian setakat ini.

“Ia masih dalam proses dan lebih ramai yang menghubungi kami untuk menyokong kepimpinan Anwar dan sebagai perdana menteri seterusnya,” katanya kepada FMT sambil menambah lebih ramai ketua bahagian dijangka menandatangani surat menyokong Anwar.

Beliau berkata, semua bahagian di Perlis dan Terengganu memberi sokongan kepada Anwar, manakala negeri lain adalah Kedah (12 daripada 15 bahagian), Johor (17 daripada 26 bahagian) serta Perak (22 daripada 24 bahagian).

Katanya, sokongan di Selangor mencecah 45% dan gerakan itu sedang berusaha mendapatkan lebih banyak sokongan.

Seorang lagi pemimpin PKR memberitahu FMT, kem Anwar mahu perpaduan dalam PKR, tetapi ia “tidak mudah” dengan keretakan antara 2 pemimpin tertinggi parti itu.

Beliau mengakui Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi mempunyai sokongan cukup banyak dalam parti dan kalangan rakyat, tetapi PKR tidak patut diheret bersama dalam pertelagahannya dengan Anwar.

“Ahli masih menyokong Anwar sebagai presiden mereka dan Azmin sebagai pemimpin nombor 2,” katanya sambil menambah ia diperkukuhkan lagi ketika temu rapat PKR di Port Dickson pada hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, jika Azmin meninggalkan PKR, beliau mungkin menyertai PPBM, parti yang ditubuhkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menjangkakan penyokong bukan Melayu Azmin mungkin mengikut jejaknya menyertai PPBM sebagai ahli bersekutu yang terbuka kepada golongan bukan Bumiputera, tetapi mereka tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti itu.

Bagaimanapun, katanya, Azmin hanya akan menyertai PPBM jika beliau gagal menyelesaikan perselisihan dengan Anwar, merujuk pertikaian dalam video seks sejenis selepas ahli Parlimen Port Dickson itu menggesa Azmin meletak jawatan jika terbukti beliau terbabit dalam klip berkenaan.

Pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku terbabit dalam video seks itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dakwaan itu dinafikan Azmin.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua menolak khabar angin Azmin akan meninggalkan parti itu.

“Tiada perkara seperti itu,” katanya kepada FMT.

PKR ialah parti berbilang kaum dengan majoriti penyokongnya terdiri daripada kaum Cina dan India. Anwar dalam temu rapat hujung minggu lalu menyifatkan parti itu sebagai pergerakan rakyat yang akan kekal berbilang bangsa.