Guna bahasa mudah dalam perjanjian untuk lindungi peminjam, kata CAP

Mohideen Abdul Kader. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang baru bagi melindungi pengguna yang membuat pinjaman.

Pemangku presiden, Mohideen Abdul Kader berkata Akta Kredit Pengguna (CCA) akan membantu pengguna memahami istilah-istilah dalam perjanjian pinjaman.

Beliau berkata satu cara melaksanakanya ialah dengan memudahkan bahasa dan menggunakan istilah awam.

“Ramai pengguna tidak dapat memahami istilah perundangan dalam perjanjian yang mereka tandatangani dengan bank dan institusi-institusi kewangan yang lain dan ini membawa masalah kepada mereka dalam jangka masa panjang,” katanya.

“Ia adalah penting sebarang perjanjian pinjaman perlu dijelaskan dalam istilah awam supaya pengguna dapat memahaminya dan mengetahui terlebih dahulu apa yang akan mereka akan hadapi.”

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata CCA akan memastikan pengguna menerima layanan adil semasa berurusan dengan pemiutang dan pemberi pinjaman, dan dalam masa sama menggalakkan perbelanjaan berhemah.

Mahathir berkata ramai peminjam berdepan masalah membayar semula pinjaman.

Beliau berkata hutang isi rumah Malaysia berada pada kadar 82.1%, lebih tinggi berbanding Itali (40.3%), Jepun (58.1%), dan Amerika Syarikat (76.3%).