Bukan mahkamah yang selesaikan kes Guan Eng, Najib beritahu Latheefa

Bekas perdana menteri Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kes rasuah membabitkan pembelian banglo di George Town oleh Lim Guan Eng belum selesai, menafikan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya yang berkata kes itu sudah diputuskan mahkamah tahun lalu.

Najib menerusi kiriman Facebook berkata kes Lim digugurkan oleh mahkamah kerana Peguam Negara, Tommy Thomas yang dilantik oleh Pakatan Harapan memohon kepada mahkamah untuk tidak meneruskan pendakwaan tersebut.

“Oleh itu perbicaran kes itu tidak diteruskan walaupun sudah berjalan hampir 3 minggu.

“Itulah sebab SPRM di bawah ketua pesuruhjaya lama yang juga dilantik oleh PH mengeluarkan kenyataan berikut,” katanya merujuk kenyataan SPRM yang terkejut keputusan mahkamah dan pihak pendakwaan kes Lim.

Semalam, Latheefa dilaporkan berkata SPRM mengumumkan mereka akan menyemak semula kes-kes lama tetapi tidak akan membuka semula kes rasuah banglo Lim.

“Bagi saya, kes itu sudah diputuskan mahkamah dan sudah selesai.

“Tidak masuk akal untuk kita buka balik kes berkenaan kecuali terdapat bukti baru atau terdapat unsur yang salah dalam proses di mahkamah,” kata Latheefa.

September tahun lalu, Lim dibebaskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Lim didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan 1 lot tanah dan sebuah banglo di George Town pada 28 Julai 2015 daripada ahli perniagaan, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta yang beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah ketika itu, iaitu RM4.27 juta.

Susulan itu, SPRM dalam satu kenyataan dilaporkan terkejut dengan keputusan tersebut, selain menegaskan ia dibuat oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya suruhanjaya terbabit.