Pekida tak bantah permohonan lucut hak RM140,000 disita SPRM

Mahkamah menetapkan 21 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi permohonan pendakwa raya melucutkan hak ke atas wang RM140,000 yang disita SPRM. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) tidak membantah permohonan notis usul dikemukakan pendakwa raya bagi melucutkan haknya ke atas wang RM140,000 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Peguam, Nor Zabetha Muhammad Nor yang mewakili Pekida selaku responden berkata, Pekida cuba menyelesaikan kes itu dan surat representasi sudah dihantar kepada SPRM pada 1 Julai lalu untuk memaklumkan anak guamnya tiada bantahan terhadap permohonan berkenaan.

“Bagaimanapun, pihaknya belum menerima jawapan berhubung perkara itu,” katanya selepas pengurusan kes di kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, T Kavita hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Farah Yasmin Salleh mengesahkan surat representasi sudah dihantar responden dan representasi itu masih dalam pertimbangan.

“Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Ogos untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perkembangan mengenai surat representasi yang dihantar Pekida.”

Sementara itu, bagi kes pelucuthakan RM407,000 membabitkan Yayasan Penyelidikan Transformasi, Farah Yasmin berkata, tiada peguam atau wakil daripada yayasan itu hadir dalam prosiding hari ini.

“Kes berkenaan ditetapkan untuk pendengaran pewartaan pada 6 Ogos depan,” katanya.

Farah Yasmin turut memaklumkan kes melucut hak wang RM170,000 membabitkan Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Ogos ini.

Pada 21 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, permohonan pelucuthakan sivil difailkan terhadap 41 entiti dan individu untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Katanya, tindakan itu diambil mengikut Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, di mana agensi anti-rasuah terbabit percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.