Perak tawar hingga RM18,000 pinjaman tanpa faedah untuk lanjut pelajaran

Kerajaan Perak peruntukan RM5,000 hingga RM18,000 setahun kepada anak negeri yang menyambung pelajaran di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan PhD.

PETALING JAYA: Perak menawarkan pinjaman tanpa faedah dari RM5,000 hingga RM18,000 untuk menampung kos pengajian pelajar yang berjaya ditawarkan ke mana-mana institusi pengajian tinggi yang ditaja.

Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) berkata pinjaman di bawah Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak itu meliputi semua bidang pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pengajian yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam dan luar negara.

“Pinjaman ini akan diberikan kepada pelajar yang memenuhi syarat yang ditetapkan bermula daripada peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD),” katanya menjawab soalan lisan Muhammad Amin Zakaria (BN-Batu Kurau) pada persidangan DUN Perak, hari ini.

Amin bertanya apakah usaha kerajaan negeri dalam membantu anak-anak Perak yang ingin menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS di peringkat Ijazah Sarjana dan PhD.

Abdul Aziz berkata peruntukan sebanyak RM5,000 setahun diberikan kepada pelajar yang berjaya menyambung pelajaran di peringkat Diploma, diikuti RM6,000 hingga RM18,000 untuk Ijazah Sarjana Muda mengikut bidang Sastera, Sains, Pengajian Islam dan Perubatan.

Manakala sebanyak RM10,000 untuk mereka yang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan RM15,000 bagi PhD.

Katanya, permohonan bagi pinjaman ini biasanya dibuka selama 3 bulan mulai awal Disember hingga Februari setiap tahun dan semua permohonan diproses secara atas talian melalui capaian portal http://spptp.perak.gov.my.