Firma penyelidik kekal unjuran inflasi Malaysia 1% tahun ini

AmBank Research berkata, pihak berkuasa masih berpeluang mengurangkan OPR dalam usaha menyokong pertumbuhan.

KUALA LUMPUR: AmBank Research hari ini mengekalkan unjuran inflasi 1.0% untuk Malaysia bagi tahun ini berikutan kelemahan komponen makanan, langkah memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September 2018 serta penangguhan pelaksanaan subsidi minyak bersasar.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, ia menyifatkan faktor tersebut akan meningkatkan lagi harga bahan api pengguna ke tahap pasaran pada suku kedua tahun ini.

“Ini turut dipengaruhi oleh persekitaran inflasi yang rendah serta kelonggaran monetari global.

“Kami juga berpendapat pihak berkuasa masih berpeluang untuk mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) dalam usaha menyokong pertumbuhan,” katanya.

Pada masa ini, AmBank Research mengekalkan unjuran sebanyak 40% mengenai kemungkinan penurunan kadar itu seterusnya pada separuh kedua 2019 (2H19) jika tekanan luar atau domestik terus ketara.

Kenanga Investment Bank pula mengekalkan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 0.7% bagi tahun ini berbanding 1.0% pada 2018 dan menyifatkan Bank Negara Malaysia masih boleh mengurangkan OPR sekiranya ekonomi global terjejas dan Rizab Persekutuan AS melaksanakan kelonggaran lebih agresif.

Secara keseluruhannya bagi 2019, ia mengunjurkan perubahan mekanisme subsidi bahan api berasaskan had harga kepada pemindahan tunai bersasar dengan harga runcit bahan api diapungkan, selain impak asas rendah akibat perubahan cukai penggunaan yang akan meningkatkan inflasi pada separuh kedua 2019.

“Bagaimanapun, sebarang kenaikan itu adalah terhad, kebanyakannya akibat peningkatan risiko luaran seperti kelembapan pertumbuhan global dan pertikaian antara China, Amerika Syarikat dan Iran,” katanya.

Aktiviti domestik berkemungkinan mendapat kesan dengan sektor perdagangan dan pelaburan dijangka paling terjejas.

Semalam, Jabatan Perangkaan menyatakan inflasi teras negara ini meningkat 1.5% pada Jun daripada 0.2% pada Mei, didorong oleh kesan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2018.

Asas inflasi pula naik 1.9% pada Jun daripada 0.4 peratus pada bulan Mei, disokong oleh peningkatan semua kategori berkaitan.