Guan Eng perlu rendah diri bila berurusan dengan Sarawak, kata Nancy

Nancy Shukri berkata, Lim Guan Eng perlu bertindak sebagai seorang menteri kepada semua rakyat Malaysia, bukannya bermain politik.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen Sarawak membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng atas kenyataannya baru-baru ini yang Putrajaya akan mengagihkan RM350 juta kepada kerajaan negeri untuk membaik pulih sekolah daif, selepas ia membayar balik hutangnya dengan jumlah sama kepada kerajaan pusat.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri berkata, sebagai menteri persekutuan, Lim tidak patut membuat kenyataan itu.

“Pinjaman Sarawak dari kerajaan persekutuan berkaitan bekalan air, kumbahan, kawasan perindustrian dan kelapa sawit, ia tiada kaitan dengan sekolah.

“Tetapi, lebih penting ialah ada jadual pembayaran balik dan saya difahamkan bayaran balik itu belum sampai tempoh lagi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Sarawak tiada masalah membayar balik pinjaman sebelum tarikh akhir, tetapi kerajaan persekutuan yang mengubah jadual bayaran itu.

“Adakah Lim begitu terdesak untuk memalukan Sarawak? Saya harap beliau tidak lupa Sarawak ialah penyumbang ke-3 besar kepada keluaran dalam negara kasar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata bayaran royalti minyak sebanyak 20% kepada Sabah dan Sarawak boleh melumpuhkan Petronas dan ini patut dijadikan amaran kepada Lim untuk lebih merendah diri ketika berurusan dengan kami.”

Beliau berkata, Lim perlu bertindak sebagai seorang menteri kepada semua rakyat Malaysia, bukannya bermain politik.

“Meminta Sarawak membuat bayaran pendahuluan RM350 juta untuk sekolah daif di bawah kerajaan persekutuan ialah satu penghinaan kepada kami dan kerajaan persekutuan sendiri.”

Sebelum pilihan raya umum ke-14, Nancy berkata, Lim membangkitkan kepentingan Sabah dan Sarawak kepada Malaysia dan berjanji akan mengembalikan status 2 negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Adakah ini cara kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan mahu memulihkan status Sarawak seperti dalam perjanjian 1963 dengan mengambil apa saja yang mereka boleh daripada kami?” soalnya.

Katanya, Lim sepatutnya belajar cara melaksanakan prosedur daripada penjawat awam, bukannya memalukan kerajaan persekutuan dengan kenyataan seperti itu.

“Kenyataannya menggambarkan kerajaan persekutuan yang sangat tamak, ini menjadikan Putrajaya kelihatan tidak prihatin terhadap semua rakyat Malaysia dan hanya pentingkan wang.”