Laporan pencemaran Pasir Gudang bukan ‘sengaja dilewatkan’, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis. berkata, kementerian belum mengetahui punca pencemaran di Pasir Gudang, bukan seperti pencemaran Sungai Kim Kim. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Hasil laporan analisa pencemaran udara di Pasir Gudang bukan “sengaja” dilewatkan, jelas Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Tegasnya, kajian mengenai perkara itu masih berjalan sehingga kini bagi mendapat keputusan dan hasil laporan yang lebih menyeluruh dan terperinci.

“Kita tidak dapat mengetahui punca pencemaran di Pasir Gudang sehingga sekarang, bukan seperti pencemaran Sungai Kim Kim yang kita tahu punca.

“Antara langkah dijalankan ialah kajian berkaitan ‘loading analysis’ (analisis beban) dan ‘carrying capacity’ (kapasiti tampungan) untuk menentukan kapasiti bawaan udara di Pasir Gudang bagi mengurangkan risiko pencemaran udara,” katanya pada sesi pertanyaan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambalan Senator Ong Chong Swen yang ingin tahu mengapa kerajaan masih memerlukan masa sehingga 6 minggu dari tarikh lantikan jawatankuasa teknikal dan saintifik kajian analisis beban dan kapasiti tampungan dilantik 15 Julai lepas untuk mengeluarkan laporan awal.

Pada 20 Jun lepas, 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang didapati mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas selepas terdedah dengan pencemaran udara di kawasan berkenaan.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira 3 bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Isnaraissah berkata, hasil kajian bersepadu itu juga kemudian akan dijadikan panduan bagi menghadapi insiden sama sekiranya berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata, setakat semalam, MESTECC melaksanakan 6,300 set cerapan udara yang dilakukan setiap hari dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk membendung masalah pencemaran.

“Sehingga 12 Julai, sebanyak 255 premis industri diperiksa dengan 136 kompaun dikeluarkan, 11 premis diberi penahanan operasi, manakala 3 syor tindakan mahkamah dilakukan,” katanya.