Pernahkah anda mendengar mengenai peria katak?
Ya, peria katak berbeza sedikit berbanding daripada peria yang biasa kita makan.
Peria katak mempunyai saiz yang lebih kecil sekurang-kurangnya sekali ganda lebih kecil berbanding peria biasa.
Rasanya pula lebih pahit berbanding peria yang biasa didapati di pasar-pasar.
Peria ini sering dibuat sebagai ubat berbanding peria biasa yang sering digunakan dalam masakan lauk pauk.
Peria katak juga dikenali sebagai bitter gourd, balsam pear, balsam apple, wild cucumber dan bitter cucumber dalam bahasa Inggeris atau karela jika di India.
Ia merupakan sayuran buah yang unik yang boleh digunakan sebagai makanan dan juga sebagai ubat.
Buahnya adalah bahagian yang boleh dimakan daripada tumbuhan yang bernama Momordica Charantia, yang merupakan sejenis pokok memanjat daripada keluarga Cucurbitaceae.
Buahnya dianggap sebagai buah yang paling pahit daripada kalangan semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran.
Pohonnya tumbuh subur di kawasan tropika dan subtropika, termasuklah:
- Amerika Selatan
- Asia
- Sebahagian daripada Afrika
- Caribbean
Peria katak tidak seperti buah daripada pohon jenis memanjat yang lain.
Ia tumbuh sebagai buah yang memiliki warna hijau, berbentuk bujur dengan kulit luarannya yang agak menggerutu.
Saiz ukurannya, tekstur dan tahap kepahitan rasanya adalah berbeza-beza di antara kawasan yang berlainan di mana ia tumbuh.
Buah ini sememangnya kaya dengan kandungan vitamin dan mineral penting.
Buah, batang, daun dan akar buah peria ini telah digunakan dalam amalan perubatan tradisional untuk membantu merawat penyakit seperti hiperlipidemia, gangguan pencernaan, jangkitan mikrob dan masalah haid.
Buah peria ini juga telah menunjukkan sifat-sifat antivirus yang baik yang boleh merangsang sistem imun tubuh.
Ia turut berkemampuan mengaktifkan sel pembunuh semula jadi tubuh untuk membantu melawan virus yang memasuki tubuh.
Kandungan nutrien peria katak
Buah peria ini mengandungi kandungan nutrien penting yang tinggi. Satu cawan iaitu bersamaan 94 gram peria pahit mentah akan memberikan anda:
- Kalori: 20
- Karbohidrat: 4 gram
- Serat: 2 gram
- Vitamin C: 93% daripada RDI
- Vitamin A: 44% daripada RDI
- Folat: 17% daripada RDI
- Kalium: 8% daripada RDI
- Zink: 5% daripada RDI
- Zat besi: 4% daripada RDI
Buah ini juga amat kaya dengan vitamin C yang merupakan mikronutrien penting yang terlibat dalam pencegahan penyakit, pembentukan tulang, dan penyembuhan luka pada tubuh.
Ia juga tinggi dengan vitamin A, iaitu vitamin larut lemak yang menggalakkan kesihatan kulit dan penglihatan yang baik.
Selain itu, ia turut mengandungi folat, nutrien yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan, serta sejumlah kalium, zink, dan zat besi.
Peria ini juga adalah sumber yang baik bagi catechin, asid gallic, epicatechin, dan asid klorogenik.
Kesemuanya merupakan sebatian antioksidan yang kuat yang dapat membantu melindungi sel-sel anda daripada kerosakan.
Ia juga rendah kalori tetapi tinggi kandungan serat yang memenuhi sekitar 8% daripada keperluan serat harian anda melalui satu cawan hidangan buah ini.
Bagaimana ia berfungsi terhadap diabetes?
Selain ia berfungsi sebagai antara bahan makanan, peria ini juga telah lama digunakan sebagai ubat herba untuk pelbagai jenis penyakit, termasuklah diabetes jenis 2.
Buahnya mengandungi sekurang-kurangnya tiga zat aktif dengan sifat-sifat anti-diabetes, termasuklah charantin, yang telah disahkan mempunyai kesan dalam menurunkan glukosa darah, selain vicine dan sebatian insulin yang dikenali sebagai polipeptida-p.
- Charantin: Ia adalah sejenis bahan berpotensi yang mengandungi sifat-sifat antidiabetes. Charantin boleh digunakan untuk merawat diabetes dan ia merupakan campuran dua sebatian yang dikenali sebagai sitosteryl glucoside dan stigmasteryl glucoside.
- Vicine: Ia adalah sebatian glycol alkaloid yang diasingkan daripada biji-biji buah peria ini.
- Polipeptida-p: Ia juga dikenali dengan nama p-insulin, yang merupakan protein hipoglisemik yang menyerupai insulin. Ia telah ditunjukkan dalam menurunkan tahap gula darah dalam tubuh manusia selain gerbil dan langur apabila disuntik dibawah permukaan kulit. P-insulin bertindak dengan cara mengajuk tindakan sepertimana yang dilakukan oleh insulin tubuh manusia.
Zat-zat ini berfungsi dan bertindak sama ada secara individu atau bersama untuk membantu mengurangkan kadar gula darah. Peria katak juga diketahui mengandungi kandungan lektin yang mengurangkan konsentrasi glukosa darah dengan bertindak pada tisu periferal dan menekan selera makan.
Tindakannya adalah sama dengan kesan insulin di bahagian otak. Lektin dianggap sebagai faktor utama di sebalik kesan hipoglisemik yang berkembang selepas seseorang individu memakan peria katak.
Peria katak menurunkan gula darah
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kajian telah mengesahkan peranannya dalam mengawal gula darah.
Kajian yang telah dijalankan selama 3 bulan terhadap 24 individu dewasa yang mempunyai diabetes menunjukkan bahawa dengan mengambil 2,000 mg peria ini setiap hari boleh menurunkan gula darah dan hemoglobin A1c.
Selain itu, suplemen peria ini telah mengurangkan fructosamine secara ketara. Fructosamine ialah penanda lain bagi kawalan gula darah jangka panjang.
Peria katak ini dianggap memperbaiki cara gula digunakan dalam tisu badan manusia dan mempromosikan rembesan insulin, iaitu hormon yang bertanggungjawab untuk mengawal paras gula darah.
Bagaimanapun, penyelidikan yang dijalankan terhadap manusia adalah masih terhad.
Lebih banyak kajian yang lebih besar dan berkualiti tinggi diperlukan untuk memahami bagaimana peria ini boleh memberi kesan kepada kadar gula darah dalam populasi umum.
Peria katak mungkin boleh mengurangkan berat badan
Anda boleh mencuba menukarkan bahan makanan yang tinggi kalori dengan peria katak.
Peria ini dapat membantu meningkatkan pengambilan serat dan mengurangkan kalori untuk menggalakkan penurunan berat badan.
Sesetengah kajian juga menunjukkan bahawa peria ini boleh memberi kesan yang baik terhadap pembakaran lemak dan penurunan berat badan.
Satu kajian mendapati bahawa dengan memakan kapsul yang mengandungi 4.8 gram ekstrak peria katak setiap hari boleh mengurangkan lemak perut secara signifikan.
Secara puratanya, peserta kajian telah kehilangan sebanyak 0.5 inci (1.3 cm) dari lilitan pinggang mereka selepas tujuh minggu tempoh masa kajian.
Kajian lain yang diterbitkan pada tahun 2015 telah menyimpulkan bahawa peria ini mengandungi sebatian yang boleh membantu mengawal glukosa darah (gula) dan tahap lipid darah (lemak) yang lebih rendah.
Oleh itu, ia boleh memberi manfaat kepada individu yang mempunyai masalah seperti:
- Diabetes
- Obesiti
- Masalah kardiovaskular
Keadaan seperti ini sering berlaku bersama-sama, dan kesemuanya mencirikan keadaan yang disebut sindrom metabolik.
Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2010 menyimpulkan bahawa ekstrak peria katak boleh menghalang pertumbuhan sel-sel kanser payudara.
Jus yang dihasilkan daripada buah peria dipanggil sebagai jus Karela.
Jus ini dihasilkan dengan cara mengisar buah peria yang masih mentah bersama-sama dengan air.
Sesetengah individu menambahkan sedikit garam atau perahan lemon untuk menjadikan rasanya lebih enak.
Jus karela juga diminum di seluruh dunia sebagai minuman untuk kecantikan kulit.
Ramai individu yang percaya ia dapat membantu meningkatkan kecantikan kulit anda.
Jus Karela adalah sumber yang kaya dengan antioksidan, termasuklah vitamin C dan provitamin A.
Kedua-dua vitamin tersebut penting untuk kulit yang sihat selain berfungsi dalam penyembuhan luka.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]