Persatuan doktor gesa tindakan terhadap perunding psikiatri ganggu mangsa rogol

Mangsa rogol yang diganggu secara seksual oleh perunding psikiatri mengalami keresahan, gangguan tidur dan cuba mencederakan dirinya sendiri.

PETALING JAYA: Badan terbesar negara yang mewakili doktor perubatan menggesa siasatan menyeluruh berhubung kes pakar sebuah hospital swasta yang dipecat selepas menghantar perbualan lucah dan gambar bogel kepada pesakit.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata kes membabitkan perunding psikiatri yang berkhidmat di Thomson Hospital di Kota Damansara, perlu disiasat dengan serius.

“Ia tuduhan serius dan sesiapa yang melakukan jenayah, mesti diikuti dengan tindakan dengan undang-undang,” kata Presiden MMA Dr Gana Baskaran kepada FMT.

Dipercayai pesakit adalah mangsa rogol yang mendapatkan rawatan psikiatri kerana trauma yang dialaminya awal tahun ini.

“Ia adalah permulaan mimpi buruknya,” menurut sekumpulan doktor yang menghantar petisyen kepada Kementerian Kesihatan supaya tindakan tegas diambil terhadap doktor terbabit.

Ia mengatakan pakar psikiatri itu menghantar mesej kepada mangsa mengatakan “seks adalah baik, dia melakukan banyak hubungan seks, dan setiap orang harus menikmati seks”, selain menghantar gambar zakarnya melalui WhatsApp.

“Dia menghubungi mangsa dan mengatakan dia beronani dan meminta mangsa melakukan perkara yang sama di telefon untuknya,” menurut e-mel oleh para doktor itu yang dipetik FMT.

“Dia menunjukkan kepada mangsa mainan seks yang dia beli untuk mereka gunakan, menawarkan pil ekstasi dan berterusan mengajak mangsa ke rumahnya,” katanya.

E-mel yang sama berkata, akibatnya pesakit mengalami keresahan, gangguan tidur dan cuba mencederakan dirinya sendiri.

Polis Petaling Jaya mengesahkan laporan dibuat terhadap doktor tersebut, dan dia sedang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan.

Pada 15 Julai, Hospital Thomson memecat doktor berkenaan yang memiliki ijazah dari Universiti Malaya, selepas menggantungnya pada 6 Julai.