Tidak perlu ke Ipoh, galeri Yasmin Ahmad kini di Cyberjaya

Yasmin Ahmad sepanjang hayatnya banyak menghasilkan karya yang menyentuh jiwa perasaan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Nama Yasmin Ahmad tidak asing dalam industri seni tanahair dengan hasil karyanya yang banyak menyentuh jiwa dan perasaan sesiapa sahaja sama ada melalui filem mahupun iklan.

Pemergiannya pada tahun 2009 secara mengejut selepas pengsan dan menjalani 2 pembedahan dalam masa 2 hari akibat pendarahan dalam otak menggemparkan industri hiburan.

Namun itulah hakikat yang perlu diterima, ajal maut di tangan tuhan.

Terkesan dengan pemergiannya, pada Oktober 2014, sebuah muzium peringatan, Yasmin di ruang Kong Heng, dibuka di Ipoh, Perak.

Antara aksi Yasmin ketika mengarah sesebuah drama atau iklan.

Ia menampilkan fotografi dan filemografi hasil sentuhan Yasmin sendiri.

Bagaimanapun bagi peminat tegar Yasmin tidak lagi perlu bersusah payah untuk pergi sehingga ke Ipoh untuk melawat muzium tersebut.

Kini, anda boleh melawat galeri khas untuk memperingati sutradara tersohor negara itu hanya di Cyberjaya.

Antara koleksi barang peribadi Yasmin yang dipamerkan dalam ‘newseum’ di Cyberjaya.

Sebuah sudut kecil atau dikenali sebagai “newseum” dinamakan khas sempena nama Yasmin sendiri diadakan di Tamarind Square, Cyberjaya boleh dikunjungi 24 jam sehari tanpa sebarang caj.

Potret Yasmin ketika kecil turut dipamerkan.

Sudut istimewa itu terletak di dalam bangunan gedung buku BookXcess dengan lebih 10 gambar simpanan peribadi Yasmin Ahmad dipaparkan.

FMT yang berkesempatan mengunjungi ruangan khas yang didedikasikan kepada pengkarya tersohor itu, mendapati setiap gambar yang digantung turut disertakan dengan kapsyen ringkas hingga mampu menyentuh hati para pengunjung.

Selain itu, terdapat juga salinan skrip salah satu karya filem tersohor Yasmin iaitu Sepet dipaparkan di dalam sebuah almari kaca.

 

Gambar Yasmin di belakang tabir pembikinan filem Sepet turut digantung di dalam almari kaca tersebut menunjukkan betapa gigih wanita itu ketika bekerja sepanjang hayatnya.

Selain itu terdapat juga beberapa gambar Yasmin bersama pelakon sedang bergembira sambil ketawa ketika berkerja.

Ini membuktikan Yasmin sememangnya seorang yang ceria dan tenang tanpa memikirkan beban kerja meskipun sedang berkarya.

Pengurus Perhubungan Awam BookXcess, Andrew Yap memaklumkan sudut itu mula berada di dalam bangunan tersebut sejak Jun 2018 dan dirasmikan pada April lalu.

Antara koleksi filem yang diterbit dan diarahkan sendiri Yasmin Ahmad sepanjang hayatnya.

“Memiliki galeri Yasmin Ahmad di dalam BookXcess adalah penghormatan terbesar buat kami kerana dapat meneruskan legasi Yasmin dan menceritakan kisahnya kepada dunia supaya kisah-kisahnya terus dihargai dan diingati,” kata Renuka kepada FMT.

Malah tambahnya para pengunjung yang melawat galeri itu memberi reaksi positif hasil usaha mereka.

“Mereka seolah-olah dapat merasakan seperti BookXcess membolehkan mereka memahami kehidupan Yasmin dan legasinya yang sungguh menginspirasikan,” katanya lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]