Ucapan kontroversi: Lembaga Disiplin PKR akan panggil Farhash, Amirudin

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari.

PETALING JAYA: Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari serta beberapa individu lain diminta memberi penjelasan atas ucapan bersifat kontroversi yang mereka keluarkan sebelum ini.

Menurut Lembaga Disiplin PKR, pihaknya berhak mengambil tindakan berdasarkan tatacara disiplin parti sekiranya peringatan yang diberikan tidak mendapat respon positif daripada Farhash, Amirudin dan beberapa individu lain.

“Atas nasihat daripada biro politik PKR, Lembaga Disiplin akan menghantar surat kepada Farhash, Amirudin serta beberapa orang lain bagi memberi peringatan dan nasihat supaya menjaga tingkah laku sebagai pemimpin dan mengutamakan perpaduan parti.

“Mereka diminta memberi penjelasan atas beberapa kenyataan bersifat kontroversi yang mereka keluarkan. Lembaga Disiplin berhak mengambil tindakan berdasarkan tatacara disiplin parti sekiranya peringatan diberikan tidak mendapat respon positif daripada pihak-pihak terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sekumpulan ahli PKR Selangor membuat laporan terhadap Farhash kerana kenyataan “Azmin semburit” yang dilaungkan selepas dibebaskan daripada reman 8 hari dalam siasatan berkaitan video seks sejenis.

Menurut sumber yang memaklumkan kepada FMT, Amirudin pula dipanggil kerana “ucapan yang dibuatnya pada majlis solat hajat” di kediaman rasminya pada 21 Julai lepas.

Terdahulu, Lembaga Disiplin PKR memaklumkan sudah menerima aduan berkenaan salah laku disiplin oleh beberapa pemimpin dan ahli parti yang didakwa mengeluarkan kenyataan dan tulisan bersifat serangan peribadi kepada individu tertentu.

“Selaras dengan resolusi majlis pemukiman pimpinan PKR yang berlangsung di Port Dickson baru-baru ini, Lembaga Disiplin akan berusaha memperkukuhkan disiplin dan perpaduan parti dengan menggalakkan usaha-usaha perdamaian dan meredakan pertikaian,” katanya.