Didik pengundi muda kenal pasti manifesto khayalan, kata Najib

Najib Razak bersama ahli-ahli Pertubuhan Gerakan Anak Muda 18 Tahun menunjukkan kad kod QR kempen pendaftaran pengundi.

BANGI: Pengundi muda khususnya yang berusia 18 tahun perlu dididik bagaimana menilai manifesto parti-parti politik agar mereka tidak mudah terpedaya, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata Barisan Nasional perlu mendekati pengundi muda dan mendidik mereka membezakan manifesto khalayan dan realiti.

“Proses mendidik mereka bagi membuat penilaian yang tepat amat penting. Dengan cara seperti ini mereka akan buat keputusan berdasarkan maklumat tepat apabila sampai pada masanya,” katanya di satu program santai bersama belia anjuran Pertubuhan Gerakan Anak Muda 18 Tahun malam tadi.

Berdasarkan pemerhatiannya, Najib mendapati anak muda menunjukkan minat untuk terlibat sama mencorak masa depan negara selepas Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, yang antara lain menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Pindaan itu juga menyaksikan warganegara berusia 18 tahun akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik, dan mereka juga layak bertanding sebagai calon pilihan raya.

Orang ramai sempat meraikan hari kelahiran Najib Razak, yang kini mencapai usia 66 tahun.

“Saya dapati mereka bersemangat mencorak masa depan negara dan keterlibatan mereka dalam proses penentuan demokrasi ini adalah amat penting,” kata Najib.

“Penting untuk kita beri mereka peluang membuat penilaian berdasarkan kepada maklumat yang tepat dan bukan berdasarkan janji-janji palsu, pembohongan mahupun fitnah.”

Menjawab pertanyaan pemberita, Najib menepis dakwaan bakal hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen sekiranya beliau gagal membayar tunggakan cukai tambahan RM1.69 bilion.

Najib Razak berbual dengan seorang kanak-kanak.

“Asas tidak betul,” katanya ringkas.

Mengenai tuntutan Peguam Negara Tommy Thomas yang mahu beliau memohon maaf tanpa syarat berhubung catatan tentang perbelanjaan kad kreditnya di Facebook yang berkaitan perbicaraannya yang sedang berjalan, Najib menjawab: “Itu soal mahkamah, biar kita uruskan di mahkamah.”