KKM gesa pengeluar ‘bubble tea’ pantau kandungan gula

Bubble tea dilaporkan mengandungi gula melebihi jumlah yang disyorkan iaitu 100ml bersamaan 20 sudu gula.

PETALING JAYA: Pengilang dan pengeluar minuman manis, termasuk minuman teh mutiara atau “bubble tea” yang popular, harus mengamalkan pemantauan sendiri untuk memastikan produk mereka tidak melebihi tahap gula dibenarkan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pengusaha minuman perlu memikul tanggungjawab bagi merumuskan semula bahan-bahan mereka ke arah lebih sihat selain mengelak dikenakan cukai gula yang dilaksanakan kerajaan.

“Ini terpakai untuk bukan sahaja bubble tea tetapi semua produk lain. Kami mahu melihat mereka mengawal dan memodulasi cara penghasilan minuman kurang manis, dengan cara tidak dikenakan cukai.

“Jika mereka mempunyai rasa tanggungjawab, mereka akan mematuhinya untuk menghasilkan minuman sihat yang mengandungi gula kurang daripada 5g setiap 100ml,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen kesedaran dan kesihatan “Kurangkan Gula Hidup Sihat” anjuran Giant Malaysia dengan kerjasama Fonterra Brands Malaysia di Giant Hypermarket di Subang Jaya.

Dzulkefly berkata pihaknya turut mengambil maklum akan laporan media bahawa bubble tea mengandungi gula melebihi jumlah yang disyorkan.

“Dari bacaan saya, dalam 100ml minuman popular mempunyai 20 sudu gula manakala pengambilan harian yang dibenarkan hanyalah 8 sudu teh.

“Jadi keputusan atas pengguna sendiri bagi menghindari menjadi obesiti,” katanya sambil menambah Malaysia antara negara paling ramai obesiti di Asia Tenggara.

Jelasnya kajian kementerian mendapati 1 daripada 2 rakyat Malaysia yang mengalami obesiti adalah faktor utama bagi beberapa penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti hipertensi, penyakit kardiovaskular, dan kencing manis yang menyumbang peningkatan membimbangkan.

Ujarnya lagi dianggarkan sebanyak 73% kematian disumbangkan oleh NCD, dengan penyakit kardiovaskular termasuk serangan jantung dan strok sebagai penyumbang terbesar.