Kumpulan pro-Anwar tak puas hati polis lambat selesai kes video seks gay

Mustapa Mansur (duduk, 2 dari kiri) dan Abdul Razak Ismail (duduk, tengah) mengadakan sidang media di Kuala Lumpur hari ini bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan untuk memuktamadkan siasatan kes video seks sejenis.

KUALA LUMPUR: Kumpulan pro-Anwar Ibrahim hari ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap polis yang belum memuktamadkan siasatan kes video seks sejenis menyasarkan seorang menteri kanan.

Timbalan Pengerusi Otai Reformis, Mustapa Mansur berkata siasatan kes itu berlarutan terlalu lama sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat dan akan membawa impak negatif terhadap kewibawaan polis.

Beliau turut mempertikaikan tindakan polis hanya menahan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz yang mengaku terbabit dalam video seks sejenis itu, tetapi bukan pasangannya yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

“Haziq dan pasangan salah laku seks telah dikenal pasti oleh syarikat pakar pengecaman wajah (di Indonesia).

“Walaupun pengecaman wajah pelaku-pelakunya dilaporkan negatif, Haziq ditahan reman oleh polis untuk siasatan, sebaliknya pasangan intimnya dibiarkan bebas.

“Otai hairan dan kecewa mengapa individu yang disebut-sebut itu tidak ditahan untuk siasatan oleh polis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Haziq mengaku terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi Azmin menafikannya dan menyifatkannya konspirasi untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video itu tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Ia disusuli kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam pada 20 Julai lalu yang berkata, analisis oleh sebuah syarikat pakar dalam bidang forensik video di Indonesia mengesahkan kesahihan klip video itu dan identiti 2 lelaki dalamnya.

Sementara itu, Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail mempertikaikan kecekapan polis dalam siasatan kes video seks sejenis itu.

“Kita kagum dengan kecekapan polis antara terbaik di dunia, tetapi dalam kes video ini agak pelik dan keliru bagaimana siasatan polis ini (mengambil masa terlalu lama).”

Beliau membandingkan kecekapan polis menyelesaikan kes samun di Kuala Langat baru-baru ini dengan kes video seks sejenis yang berlaku bulan lalu.

“Dalam keadaan perompak-perompak itu memakai sarung muka, polis masih dapat menangkap mereka. Padahal kalau tengok CCTV, gambar yang dipaparkan begitu kecil, agak sukar untuk sesiapa melihat di belakang topeng itu.

“Tetapi, dalam kes video (seks sejenis) ini, gambar itu memang terang siapa pelaku-palakunya.”

Katanya, polis tidak patut hanya menumpukan siasatan ke atas penyebar video itu, tetapi perlu menyiasat lelaki yang terbabit mengadakan hubungan seks luar tabii yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Razak berkata, Otai Reformis tidak menyalahkan polis, tetapi mahu melihat integriti polis terus dihormati rakyat.

“Kita bukan nak salahkan polis, bukan anti-polis, kita ingin lihat integriti polis sampai ke tahap dihormati semua tanpa tafsiran berbeza.

“Ikut saja prosedur, itu saja kita minta. Pada pendapat kami, sampai saat ini siasatan polis sudah baik, kita nak lihat siasatan polis ada titik dia. Bukan maksud kita polis tak ikut proses undang-undang, kita hanya mahu lebih jelas.”

Buktikan Anwar dalang video seks

Razak turut mencabar Menteri Besar Selangor yang juga ketua PKR negeri, Amirudin Shari membuktikan dakwaannya Anwar mendalangi penyebaran video seks sejenis itu.

“Kita merasakan andaian yang diberi itu terlampau berbahaya kepada Anwar.

“Kita nak ingatkan kepada MB ini sebenarnya Selangor menghadapi masalah air, rakyat sedang bising soal air, itu lebih baik difokuskan kebajikan rakyat, jangan bermain politik dalam isu video lucah ini.

“Kita perlu seorang pemimpin yang lebih berwibawa dalam apa kenyataan dibuatnya.”

Dalam majlis doa selamat dan kesyukuran di kediaman rasminya pada 21 Julai lalu, Amirudin memberi bayangan dalang isu video seks sejenis itu ialah mereka yang pernah melalui zaman pahit ketika isu skandal serupa timbul 20 tahun dahulu.