Sabah rancang lapangan terbang baru di pantai barat, kata Shafie

Shafie Apdal (2 dari kiri) menghadiri sesi RMK-12 bersama Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin (3 dari kiri). (Gambar Jabatan Ketua Menteri)

KOTA KINABALU: Kerajaan merancang untuk membina lapangan terbang baru dalam beberapa tahun akan datang bagi mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua Menteri Shafie Apdal berkata rancangan itu sedang dibincangkan dan percaya kesesakan di KKIA mesti diselesaikan segera.

“KKIA mempunyai kapasiti yang terhad dan hanya boleh menerima 9 juta penumpang setahun.

“Pada masa ini, lebih 8 juta penumpang keluar masuk menerusi KKIA.

“Dalam tempoh 5 tahun akan datang, jumlah penumpang akan melebih kapasiti maksimum lapangan terbang itu.

“Ini satu perkara yang dibincangkan hari ini dan perlu diberi keutamaan,” katanya selepas sesi maklum balas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi persiapan Rancangan Malaysia ke-12 hari ini.

Terdahulu, terdapat rancangan untuk membina lapangan terbang baru di Kimanis, yang terletak 45km dari ibu negara, tetapi digugurkan dan KKIA dinaiktaraf.

Shafie berkata rancangan itu masih dalam perbincangan dan pentadbirannya menjadikan ia sebagai keutamaan ketika ia sedang mencari cara untuk menyelesaikan masalah kesesakan KKIA di masa depan.

“Buat masa ini, masih terlalu awal untuk saya cakap mengenai kos atau reka bentuknya.”

Menurut statistik Kementerian Pelancongan, Sabah menerima lebih 3 juta pelancong asing setiap tahun.

Ini bermakna Sabah berpotensi tinggi untuk menjadi hab pelancongan ternama di rantau ini dan Kementerian Pelancongan sedang menumpukan usaha menarik pelancong-pelancong kaya dari negara-negara seperti China dan Filipina.

Sementara itu, Shafie berkata Sabah sedang mengkaji mempelbagaikan ekonominya dan meluaskan aktiviti hiliran daripada bergantung kepada eksport bahan mentah.

Beliau berkata kerajaan akan berusaha untuk memastikan keselamatan makanan dan akan membuka lebih banyak tanah untuk kegiatan pertanian.

“Zaman kita eksport bahan mentah seperti getah dan minyak sawit sahaja sudah berlalu,” katanya.

Beliau berkata industri minyak dan gas khususnya sangat penting terutama kerana separuh daripada minyak dan gas negara daripada Sabah.

Ironiknya, industri itu tidak menyediakan manfaat secukupnya untuk rakyat Sabah dari segi peluang pekerjaan atau aktiviti hiliran.

Oleh itu, kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan Petronas untuk membangunkan lebih banyak kluster berkaitan minyak dan gas bagi membantu membangunkan aktiviti hiliran.