60 mayat migran ditemui di perairan Libya

Berikutan kekacauan yang berlaku di utara Afrika, Libya menjadi lokasi pilihan bagi pendatang haram yang mahu menyeberangi Laut Mediterranean menuju ke Eropah.

TRIPOLI: Persatuan Bulan Sabit Merah Libya pada Jumaat menemui 60 mayat pendatang tanpa izin di pantai barat negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

“Kami menemui 60 mayat pendatang, termasuk wanita dan kanak-kanak selepas bot yang mereka naiki tenggelam pada Khamis di pantai kota Khoms, kira-kira 120 kilometer di timur Tripoli,” kata seorang pegawai.

Bot malang itu membawa 250 imigran dan kemungkinan puluhan lagi mayat belum ditemui, kata pegawai yang enggan dikenali.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pada Khamis lebih 100 imigran tanpa izin hilang di pantai barat Libya, sementara 140 yang lain diselamatkan.

Berikutan kekacauan dan huru hara di utara negara Afrika, Libya menjadi lokasi pilihan kepada pendatang haram yang ingin menyeberangi Mediterranean menuju ke Eropah, kebanyakannya daripada mereka lemas ketika dalam perjalanan.