Kerajaan Perak tawar tanah alternatif kepada petani di Chemor

Semalam sekumpulan petani di Chemor merayu bantuan pasukan bola sepak Perak supaya menghalang keputusan kerajaan negeri merampas tanah mereka untuk dihadiahkan kepada skuad itu atas prestasi cemerlangnya.

PETALING JAYA: Kerajaan Perak menawarkan lot tanah alternatif kepada petani di Chemor yang diberi notis 14 hari supaya mengosongkan tanah pertanian yang diusahakan mereka berikutan tanah berkenaan dihadiahkan kepada pemain pasukan bola sepak negeri tersebut.

Kenyataan Pejabat Menteri Perak hari ini berkata, petani terbabit boleh menyewa tanah yang dikenal pasti di lokasi baru di Tanah Hitam, Chemor.

Ia berkata, hak milik tanah berkenaan kini dipindahkan daripada kerajaan negeri kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Kenyataan itu menyebut bahawa Pejabat Tanah dan Galian negeri telah mengadakan perbincangan dengan petani terlibat dan berkata persefahaman awal dipersetujui dengan mereka.

Ia berkata, lebih 24,000 hektar tanah milik kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah diceroboh sejak beberapa dekad.

Katanya pencerobohan itu menjejaskan perancangan untuk menjalankan projek pembangunan, membina rumah mampu milik, aktiviti ekonomi serta membawa masuk pelabur.

“Kerajaan negeri Perak amat komited untuk menyelesaikan isu setinggan dan usaha haram di negeri ini, namun dalam masa sama akan membantu petani kecil bagi meneruskan aktiviti pertanian secara sah dengan menyewa tanah kerajaan negeri dan GLC pada kadar harga yang sangat berpatutan.”

Ia berkata, kerajaan negeri tidak merancang untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas peneroka tanah haram terbabit walaupun mereka telah menjalankan aktiviti pertanian tanpa membayar sebarang hasil selama lebih 50 tahun.

Semalam sekumpulan 7 petani dari Chemor berkata, kerajaan negeri mahu mengambil balik tanah yang mereka usahakan selama lebih 40 tahun. Tanah berkenaan akan dihadiahkan kepada pemain bola sepak negeri Perak.

Mereka merayu bantuan pemain bola sepak negeri bagi menghalang kerajaan negeri merampas tanah mereka untuk dihadiahkan kepada skuad itu atas prestasi cemerlangnya.

Dalam satu surat terbuka kepada skuad itu, pekebun terbabit berkata, ada di antara mereka ialah cucu kepada petani yang meneroka tanah itu 40 atau 50 tahun dahulu dan kini digunakan untuk menanam sayur-sayuran yang menjadi punca pendapatan utama mereka.

Katanya, mereka terkejut menerima notis Pejabat Tanah Kinta bertarikh 5 Julai lalu yang mengarahkan mereka mengosongkan tanah di Ulu Chemor, Hulu Kinta dalam tempoh 14 hari atau berisiko dipenjarakan 5 tahun atau denda RM500,000.

Pada 30 Mei, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan 39 pemain dan pegawai skuad Liga Super Perak menerima lot tapak kediaman di Hulu Kinta atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu dengan menundukkan Terengganu FC 4-1 pada 28 Oktober 2018.